Tiga tekong dan 16 awak-awak tiga bot nelayan asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam bagi menghadapi tuduhan menangkap ikan menggunakan peralatan tidak dibenarkan (tunda ganding) dalam kawasan perairan kira-kira 48 baru nautika dari Kuala Kuantan dekat sini, 28 Oktober lalu.
Kesemua warga Vietnam berusia 18 hingga 52 tahun itu bagaimanapun mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Vietnam.
Tekong salah sebuah bot didenda RM200,000 atau lima bulan penjara manakala enam awak-awaknya didenda RM20,000 atau empat bulan penjara.
Manakala dua lagi tekong bot didenda RM100,000 atau empat bulan penjara manakala 10 awak-awak kedua-dua bot tersebut didenda RM10,000 atau tiga bulan penjara.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua bot bersama peralatan yang disita dilucutkan hak sebagai harta kerajaan di bawah Seksyen 52(1)(a) Akta Perikanan 1985.
Hukuman diputuskan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali dan Jesseca Daimis manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Maritim Malaysia, Syazana Lajis serta Nordihana Rosdi.
Berdasarkan fakta kes, kesemua tekong dan awak-awak terbabit bersama tiga buah bot dikesan bersauh dan menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan kaedah tunda ganding yang diharamkan di kawasan kira-kira 48 batu nautika dari Kuala Kuantan kira-kira jam 1.10 tengah hari 28 Oktober lalu.
Kegiatan mereka berjaya dikesan anggota Maritim Malaysia dari kapal KM Lang yang kebetulan menjalankan rondaan Ops Marikh dan Ops Pari di kawasan tersebut.
Menyedari kehadiran bot pengut kuasa itu, ketiga-tiba bot nelayan asing terbabit cuba melarikan diri bagaimanapun mereka dikejar dan berjaya dipintas di kedudukan 67 batu nautika dalam perairan sama.
Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit terlibat dalam aktiviti menangkap ikan secara haram itu sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau lima tahun penjara bagi tekong dan RM100,000 untuk awak-awak.
Mereka juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 52(1)(a) akta sama dimana bot, peralatan dan segala barangan berkaitan termasuk hasil tangkapan boleh dirampas dan dilucutkan hak.
Secara keseluruhannya, seramai 64 nelayan Vietnam termasuk tekong bot dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas pelbagai kesalahan.
Bagaimanapun hanya 19 yang mengaku bersalah manakala 45 lagi lagi tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.
Kesemua mereka yang mengaku tidak bersalah dibantah sebarang jaminan oleh pihak pendakwaan dan terpaksa ditahan sehingga tarikh sebutan seterusnya yang ditetapkan 15 Disember depan.
Dalam Mahkamah Majistret 2, Jesseca Daimiss membenarkan jaminan ke atas dua daripada mereka (tekong) selepas peguam masing-masing membuat permohonan agar mereka diikat jamin.
Mahkamah membenarkan tekong berusia 42 dan 52 tahun itu diikat jamin RM6,000 setiap seorang masing-masing dengan dua penjamin tempatan manakala dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.
0 comments:
Post a Comment