Polis menahan seramai 95 individu atas pelbagai kesalahan dadah dalam Ops Indera Khas Narkotik di sekitar daerah Rompin selama dua hari yang berakhir semalam.
Dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri itu, polis turut merampas 36.08 gram heroin, 5.96 syabu dan 1.7 gram ganja serta wang tunai RM8,819.
Ketua Polis negeri, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata, mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 45 tahun dan dua daripadanya adalah wanita.
“Seramai tujuh orang ditahan kerana kesalahan mengedar dadah dan seorang daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil saringan awal air kencing juga didapati seramai 64 orang positif pelbagai jenis dadah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Felda, jeti nelayan antara kawasan panas
Menurut beliau, empat orang ditahan kerana kesalahan memiliki dadah, 14 orang kesalahan menagih dan enam di tahan di bawah Akta Imigresen.
Kata beliau, antara kawasan panas yang menjadi tumpuan operasi ialah di sekitar kawasan Felda, jeti nelayan dan bandar-bandar kecil di Rompin.
“Operasi ini membabitkan tiga fasa iaitu serbuan dari rumah ke rumah, sekatan jalan raya dan lubuk-lubuk dadah yang aktif di daerah Rompin,” katanya.
Ops akan diteruskan
Sharifuddin berkata, operasi ini membabitkan seramai 24 pegawai, 146 anggota dari seluruh negeri termasuk anggota Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).
“Operasi ini akan diadakan dari semasa ke semasa di seluruh negeri bagi menangani masalah penagihan dan pengedaran dadah serta membendung peningkatan kadar jenayah
.
“Polis akan meneruskan pemantauan dan menjalankan operasi seperti itu bagi memastikan tempat-tempat yang dipercayai aktif dengan aktiviti pengedaran dadah dapat dibanteras,” katanya.
0 comments:
Post a Comment