Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 18, 2014

SUSPEK KES BUNUH DITAHAN POLIS


Johor Bahru - Polis Johor menahan seorang lelaki yang sangat dikehendaki polis dan dipercayai terlibat dalam satu kes bunuh di Jalan Engan, Batu Pahat, Sabtu lepas.

Dalam kejadian 9.50 malam Khamis lepas, suspek yang berumur 30 tahun itu dipercayai menyerang dua mangsa lelaki di kawasan terbabit sehingga menyebabkan seorang daripada mangsa mati di tempat kejadian dan seorang lagi cedera parah.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata suspek yang turut positif dadah jenis methamphetamine itu, didapati mempunyai empat rekod jenayah lampau dan satu kes dikehendaki polis.

"Polis turut merampas beg sandang, pemutar skru, sarung tangan, telefon bimbit, pisau, cincin, lima utas jam tangan pelbagai jenama dan wang tunai sebanyak RM40," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata suspek direman tujuh hari sehingga 20 September ini dan hasil tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan satu kes bunuh, 10 kes pecah rumah dan dua kes samun di daerah Batu Pahat.

Sementara itu, dalam kejadian lain, Mohd Mokhtar berkata polis menahan seorang lelaki yang memiliki 41 rekod jenayah, ketika cuba mencuri sebuah kenderaan di Taman Utama Yong Peng, Batu Pahat, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 11 malam itu, suspek yang berusia 33 tahun diberkas dalam pagar rumah mangsa ketika cuba mengopek pintu kereta mangsa.

"Semakan rekod mendapati suspek banyak kali masuk penjara kerana mempunyai 41 kesalahan jenayah pecah rumah, curi kenderaan, samun dan dadah," katanya.

Mohd Mokhtar berkata polis turut merampas sebatang pemutar skru, dua ragum, sebilah pisau pemotong, sebilah parang, sebilah gergasi besi kecil, sebatang pen uji dan satu kunci Allen yang diubah suai.

Suspek yang didapati positif dadah jenis Methamphetamine, juga amat dikehendaki polis dalam tujuh kes serta masih dibicarakan di mahkamah dalam tiga kes.

"Suspek direman selama empat hari sehingga hari ini. Susulan penahanan suspek membolehkan pihak polis menyelesaikan satu kes curi kenderaan dan lima kes pecah rumah di sekitar Batu Pahat," katanya.

0 comments:

share2