Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 17, 2014

SURAT BERBAUR HASUTAN: HUKUMAN UTHAYAKUMAR DIKURANGKAN


mahkamah

Putrajaya - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan kesalahan peguam P. Uthayakumar kerana menulis sepucuk surat berbaur hasutan kepada bekas Perdana Menteri Britain Gordon Brown enam tahun lepas, tetapi mengurangkan hukuman penjara 30 bulan kepada 24 bulan.

Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Aziah Ali berkata pengurangan tempoh hukuman itu adalah wajar dan mengubah kepada kepada hukuman penjara 24 bulan.

Berikutan keputusan itu, Uthayakumar yang telah ditahan di Penjara Kajang sejak 5 Jun 2013, akan dibebaskan 5 Oktober.

Aziah yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan Datuk Ahmadi Asnawi, berkata mahkamah mendapati alasan yang dibuat oleh perayu (Uthayakumar) berhubung sabitan yang diputuskan oleh hakim Mahkamah Sesyen, tiada merit.

Panel hakim membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam M. Manoharan yang mewakili Uthayakumar dan Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi bagi pihak pendakwaan. 

Memandangkan kes Uthayakumar bermula di Mahkamah Sesyen, rayuan terakhir beliau adalah di Mahkamah Rayuan.

Pada 5 Jun 2013, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati dia bersalah terhadap pertuduhan menulis sepucuk surat berbaur hasutan yang dialamatkan kepada Gordon Brown, yang ketika itu merupakan perdana menteri Britain di 10 Downing Street, London, United Kingdom.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Toman 7, Kemayan Square, Seremban, Negeri Sembilan pada 15 November 2007, dan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Pada 18 Februari lepas, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 30 bulan selepas menolak rayuan Uthayakumar.

0 comments:

share2