Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 19, 2014

MB BARU ANGKAT SUMPAH SELASA DEPAN - ISTANA SELANGOR


MB baru angkat sumpah Selasa depan - Istana Selangor

Kuala Lumpur: Teka-teki siapa bakal mengganti tempat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan terjawab Selasa depan.

Ia berikutan salinan kad jemputan ke istiadat Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor pada pukul 10 pagi di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang yang diterima Astro AWANI di sini semalam.

Salinan kad itu turut meminta jemputan memakai pakaian kebangsaan dan bersongkok hitam kepada lelaki sementara jemputan wanita perlu memakai pakaian tertib dan sopan.

Salinan kad jemputan Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor Selasa depan 


Sementara itu, memetik laporan sebuah portal, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani mengesahkan istiadat itu akan diadakan Selasa selain nama menteri besar baharu turut diumum pada hari yang sama.

Sebelum ini, Istana Selangor menafikan kenyataan, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan amalan menghantar satu nama calon menteri besar kepada Sultan merupakan amalan negara sejak mencapai kemerdekaan pada 1957.

Sementara itu, ketika memetik laporan Bernama yang menghubungi Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani, beliau memberitahu enggan mendedahkan nama menteri besar yang baharu itu.

Mohamad Munir berkata, perkara itu hanya akan diketahui pada hari mengangkat sumpah berkenaan.

Bernama turut difahamkan, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohamad Azmin Ali adalah calon yang bakal mengangkat sumpah jawatan tertinggi pentadbiran negeri Selangor itu.

Namun, ketika diminta mengulas perkara itu, Mohamad Munir enggan mengesahkannya.

Pada 26 Ogos lepas, Sultan Selangor bertitah supaya parti dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, PKR dan PAS mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baharu.

Baginda bertitah demikian selepas menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sehingga proses pelantikan menteri besar baharu selesai.

PKR dan DAP bagaimanapun kekal dengan keputusan mereka mahukan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal menteri besar yang baharu.

Tindakan kedua-dua parti berkenaan menyebabkan Sultan Selangor amat dukacita.

Susulan kemurkaan baginda itu, PKR dan DAP baru-baru ini menyerahkan sepucuk surat kepada Istana Selangor.

Selain menghantar surat kedua yang tidak diketahui kandungannya itu, pada hari yang sama kedua-dua parti tersebut mengeluarkan kenyataan memohon ampun secara terbuka kepada Sultan Selangor.

Walaupun memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tetap mempertahankan tindakan kedua-dua parti itu berhubung calon mereka bagi jawatan Menteri Besar Selangor.

Krisis politik Selangor tercetus selepas 'Langkah Kajang' yang dimulakan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Mac lepas yang bertujuan menjadikan Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Bagaimanapun, hasrat Anwar terbantut selepas gagal menjadi calon kerusi DUN Kajang apabila mahkamah mendapati beliau bersalah atas pertuduhan liwatnya, lalu isterinya yang juga Presiden PKR bertanding dan memenangi kerusi DUN itu.

Pada 9 Ogos lepas, PKR memecat Abdul Khalid daripada parti itu dan merancang untuk mengangkat Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

0 comments:

share2