Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 17, 2014

KUANTAN: TAK JUMPA JALAN PULANG


Laporan Sinar Harian kelmarin.

Kuantan - Pelajar yang menghilangkan diri selama enam hari akhirnya pulang ke pangkuan keluarga selepas terserempak dengan seorang rakan sekampungnya yang kebetulan berada di pusat membeli belah yang sama.

Mohamad Nazri Mohd Adnan, 13 mendakwa, dia keluar bersama seorang rakannya Isnin lalu dan selepas rakannya menaiki bas, dia tidak terus pulang sebaliknya mengambil mahu bersiar-siar di bandar.

Katanya menyedari sudah petang, dia mengambil keputusan untuk bermalam di Surau Lapang Besar kerana buntu dan gagal mengingati nombor telefon ibunya.

Bagaimanapun katanya, selama enam hari berada di surau itu, dia dibantu orang ramai dengan memberi makanan dan membenarkannya tidur di situ.

“Lagipun, saya tidak takut kerana ramai lagi musafir lain yang menumpang tidur di surau itu,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, berbekalkan RM20 yang diberikan ibunya, dia berjimat membeli makanan untuk mengalas perut selama berada di bandar.

Mohamad Nazri berkata, dia turut berkenalan dengan seorang lelaki yang bekerja di sebuah pusat boling dan setiap hari mengikut ‘rakan baharunya’ itu ke tempat kerjanya dan menanti sehingga rakannya pulang dari tugasnya.

“Dia ada menasihatkan saya supaya pulang ke rumah tetapi ketika itu saya tidak ingat nombor telefon emak dan saudara-mara yang lain untuk dihubungi,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Siti Hajar Abdul Razak, 32, bersyukur dengan kepulangan anaknya selepas tidak berhenti melakukan solat hajat bersama ahli keluarga dan jiran.

Katanya, dia menerima panggilan telefon kira-kira jam 2.30 dari seorang rakan sekampung yang memaklumkan anaknya ada di pusat membeli-belah itu.

“Kami gembira kerana dia ditemui selamat dan tidak menunjukkan sebarang perubahan selepas beberapa hari menghilangkan diri,” katanya.

Siti Hajar berkata, dia akan berbincang semula bersama Mohamad Nazri dan ahli keluarga lain mengenai persekolahan anaknya itu dan memutuskan supaya keputusan dibuat sendiri anaknya itu.

Menurutnya, Mohamad Nazri tidak pernah melakukan perkara yang membimbangkan mereka sekeluarga sebaliknya sentiasa bersama adik-beradik lain.

Siti Hajar membuat laporan polis di Balai Polis Beserah Jumaat lepas selepas menyedari anaknya tiada di asrama ketika menghantar duit belanja.

0 comments:

share2