Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 17, 2014

AMBANG HARI MALAYSIA DICEMARI NODA


Antara pasangan yang disyaki berkhalwat dalam hotel bajet yang diperiksa semasa Ops Sayang.

Pasir Gudang - Sambutan ambang Hari Malaysia, terus dicemari dengan kegiatan tidak bermoral segelintir pasangan yang disyaki berkhalwat di hotel bajet sekitar kawasan Pasir Gudang.

Dalam operasi bersepadu Ops Sayang melibatkan anggota dan pegawai dari Bahagian Penguat Kuasaan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) serta Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), awal pagi semalam, 11 individu ditahan sepanjang serbuan jam 11 malam hingga 2 pagi itu.

Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasaan Jaij, Mohd Hafiz Abd Rahman berkata, kesemua individu yang ditahan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) 1997 itu berusia lingkungan 20 hingga 42 tahun kerana disyaki berkhalwat.

“Ops Sayang sempena Hari Malaysia ini dilakukan secara bersepadu dengan MPPG yang mana kita biasa membuat ops bersepadu dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Ops malam ini memberi tumpuan di sekitar Pasir Gudang iaitu hotel bajet di mana tempat yang biasa mereka ambil kesempatan sempena hari cuti,” katanya.

Mohd Hafiz berkata, ops berkenaan bertujuan membanteras dan mencegah maksiat di hotel-hotel selain membersihkan imej sektor perhotelan daripada tanggapan negatif masyarakat bahawa premis berkenaan banyak mengundang gejala tidak bermoral.

Dalam serbuan itu, sebanyak tujuh hotel bajet berhampiran terminal feri, Kota Masai dan Taman Scientex diserbu pihak berkuasa.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Pasir Gudang untuk proses dokumentasi sebelum ke pejabat Bahagian Penguat Kuasaan Jaij bagi tindakan lanjut.

Ops turut disertai Ketua Penguat Kuasa MPPG, Faridah Abd Hamid.

0 comments:

share2