Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 21, 2014

3 PENGHASUT DILAMAN MEDIA SOSIAL DIBURU




Kota Kinabalu: Polis mengenal pasti tiga individu yang sering mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berkaitan Sabah di laman sosial.

Ini termasuk kenyataan sehingga menimbulkan isu kurang selesa iaitu membawa Sabah keluar dari Malaysia. 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika ditemui berkata, semua maklumat berhubung tiga suspek itu sudah diperolehi termasuk identiti dan bukti hasutan.

"Kini usaha menjejaki mereka sedang giat dijalankan dan dipercayai mereka masih berada di dalam negara," katanya.

Jalaluddin berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada tiga suspek ini mempunyai kaitan langsung dengan kumpulan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM).

Menurutnya, identiti ketiga-tiga suspek tidak boleh didedahkan kepada umum sehinggalah tangkapan dan siasatan menyeluruh selesai dilakukan. 

Sementara itu, di ‎Manjung, Perak, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu berkenaan.

Katanya, ahli politik, bekas ahli politik dan kumpulan kesultanan tertentu di negara ini antara individu dikenalpasti bertanggungjawab terbabit dalam usaha mencetuskan isu membawa keluar Sabah dan Sarawak dari Malaysia. 

Menurutnya, usaha lanjut sedang dilakukan ketika ini membabitkan polis dan Peguam Negara untuk mengambil tindakan terhadap individu serta kumpulan terbabit.

"Polis sudah dapat maklumat peribadi mereka," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut, di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, di sini.
Katanya, tindakan undang-undang mengikut Akta Hasutan 1948 boleh diambil terhadap mereka selain akta keselamatan lain seperti penderhakaan terhadap Yang di- Pertuan Agong.




0 comments:

share2