Tumpat: Jentera Barisan Nasional (BN) berjaya menembusi beberapa kubu kuat PAS sepanjang tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang pro-PAS menerima baik kedatangan jentera parti.
“Kerana itu kita tidak dengar sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Minum Petang Bersama Warga Pendidik di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz dan calon BN Mat Razi Mat Ail.
Muhyiddin bersalaman dengan calon BN Pengkalan Kubor, Mat Razi (dua dari kanan) dan jemaah masjid di Masjid Mukim Pak Keral.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, trend pengundi kini semakin cenderung untuk memilih BN, namun jentera parti diingatkan supaya tidak leka dengan perkembangan itu.
Beliau mengingatkan jentera parti supaya tidak terlalu yakin, sebaliknya terus menyusun strategi bagi menemui semua pengundi di DUN berkenaan.
“Kita baru separuh jalan, ada masa lagi untuk kita pastikan kemenangan di pihak kita,” katanya.
Terdahulu, ketika berucap di hadapan 600 warga pendidik yang menjadi pengundi DUN berkenaan, beliau meminta guru di jajahan itu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan cemerlang demi menjayakan sistem pendidikan negara.
Menurutnya, untuk berjaya, komitmen tinggi diperlukan daripada golongan terbabit.
“Saya ucapkan sepenuh penghargaan kepada semua guru khusunya di Tumpat kerana tugas kita ini satu tanggungjawab yang semakin penting,” katanya.
Menurutnya, melalui guru yang komited, kecemerlangan pendidikan dalam semua perkara dapat dicapai.
Terdahulu, Muhyiddin bersama Mustapa menunaikan solat Jumaat dan menghadiri majlis kenduri rakyat di Masjid Hidayatul Mustakim, Kampung Pak Kral, Pengkalan Kubor.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM300,000 bagi membaik pulih dan menaik taraf masjid berkenaan.
0 comments:
Post a Comment