Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 21, 2014

KUANTAN : BAHAYA MENANTI DEPAN MATA

Chean Chung menunjukkan keadaan jalan rosak di selekoh Jalan Industri Semambu 9/6 yang berlubang sejak setahun lalu. Gambar kecil: Sarang tebuan di pokok berhampiran mampu mengancam nyawa pekerja di sini.


KUANTAN - Ibarat menunggu mangsa, begitulah keadaan Jalan industri Semambu 9/6 yang rosak sejak lebih setahun lalu, ditambah pula dengan kehadiran sarang tebuan sebesar pemeluk yang boleh membahayakan nyawa sesiapa sahaja yang melalui jalan itu.

Pekerja industri, Chua Kim Hock, 61, berkata, jalan rosak yang di lokasi berselekoh untuk ke kawasan industri tersebut yang boleh ‘memakan’ nyawa jika tidak berhati-hati.

“Setiap kali melalui jalan ini, kami harus berhati-hati dengan memperlahankan kenderaan agar tidak terperosok dalam lubang tersebut.

“Keadaan teruk apabila waktu malam kerana bagi orang baru di sini, mereka mungkin tidak perasan lubang besar tersebut.

Lebih membahayakan lagi, terdapat sarang tebuan yang terletak di atas pokok berhampiran selekoh tersebut yang boleh mengundang bahaya kepada mereka.

Chong Yew Yee, 50, berkata, mereka berdepan dengan dua bahaya setiap kali menggunakan laluan tersebut.

"Bahaya dengan keadaan lubang di selekoh jalan dan sarang tebuan yang boleh menyerang kami bila-bila masa sahaja.

“Justeru, kami berharap agar masalah yang membelenggu kami di sini dapat diselesaikan pihak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, nasib mereka mendapat perhatian daripada Adun Semambu, Lee Chean Chung untuk dipanjangkan ke pihak terbabit.

Chean Chung berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada pihak bomba untuk membuang sarang tebuan dan juga membaiki keadaan jalan rosak tersebut.

“Saya akan meminta kerjasama pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya.

0 comments:

share2