Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 21, 2014

IBU CALON KECEWA PEMBANGKANG SERANG PERIBADI



Tumpat: Ibu kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail kecewa dengan serangan peribadi oleh pihak tertentu terhadap anaknya.

Habsah Ismail, 65, melahirkan kekecewaannya apabila ada pihak yang memfitnah Mat Razi yang baginya merupakan seorang anak yang baik. 

"Tak patut timbul isu ini dan serangan peribadi macam itu, dia baik dan tiap kali ada kematian atau tahlil memang orang akan panggil dia untuk membacakan doa," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Simpangan di sini, hari ini. 

Habsah berkata, anaknya adalah tulang belakang bagi mereka sekeluarga dan Mat Razi memang seorang yang patuh kepada agama dan meminati pengajian Islam.

Sebelum ini, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, mempertikaikan gelaran "ustaz" kepada Mat Razi dan menyifatkan bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat itu tidak layak dipanggil ustaz kerana pernah bekerja sebagai penjawat awam dan berpakaian formal ketika bertugas.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan kelmarin sebuah blog menyebarkan dakwaan Mat Razi mempunyai hubungan sulit dengan bekas pelajarnya. 
Habsah berkata, dia berharap orang ramai dapat memberi peluang kepada anaknya menabur bakti di kawasan itu. 

"Saya telah berpesan kepada Mat Razi, jika sudah terpilih menjadi wakil rakyat, tanggungjawab dan amanah orang jangan diabaikan serta perjuangan agamanya perlu diperkukuhkan lagi," katanya. 

Katanya, anak sulungnya daripada 10 adik beradik itu meminta pendapatnya terlebih dahulu apabila mengetahui terpilih sebagai calon BN. 

Habsah berkata, Mat Razi mungkin mengikut jejak ayahnya yang telah meninggal dunia empat tahun lepas, Mat Ail Awang Besar dalam perjuangan politik. 

"Arwah ayahnya dulu pun sentiasa bergerak dalam parti tetapi dia hanya di peringkat kampung, kiranya dia ikut jejak ayah dia la. Kami sokong apa yang dia (Mat Razi) lakukan kerana kami sekeluarga sokong BN sejak dahulu lagi...BN sokmo-sokmo (selalu)," katanya. 

PRK itu membabitkan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, calon PAS Wan Rosdi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. 

PRK itu diadakan berikutan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 Sept ini sebagai hari mengundi. 

Pada pilihan raya umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.




0 comments:

share2