Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 21, 2014

PKR MAHU PILIHAN RAYA NEGERI, NAK ADAKAN RAPAT UMUM SOKONG WAN AZIZAH



Sejak semalam mesyuarat Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengkaji pelbagai sudut tindakan sekiranya bukan Wan Azizah Wan Ismail yang akan ditabal sebagai Menteri Besar Selangor.

Sambil menafikan desas-desus bahawa parti itu bersetuju dengan pelantikan timbalan presidennya, Azmin Ali sebagai menteri besar baru Selangor, sumber PKR turut menyatakan kemungkinan mereka meminta diadakan pilihan negeri.

Malahan dalam perbincangan tersebut juga terdapat cadangan untuk mengadakan “road show” dan “rally” besar-besaran sebagai mendesak Tuanku Sultan Selangor menerima Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar yang baharu.

Pandangan ekstrim mengadakan demontrasi besar-besaran ini berasaskan keyakinan bahawa mereka akan mendapat simpati politik yang besar melalui gerakan ini.

Sementara itu Malaysiakini melaporkan sumber PKR menyatakan pemimpin tertinggi PKR dalam mesyuarat pada malam tadi hanya membincangkan mengenai senario yang mungkin berlaku sekiranya sultan Selangor benar-benar berhasrat agar Azmin dipilih menjadi MB.

“Keputusan semalam hanya untuk mempertegas pilihan yang dibuat sebelum ini iaitu (Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) sebagai menteri besar,” kata anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR itu lagi.

Cakap-cakap yang mendakwa PKR bersetuju dengan pelantikan Azmin itu timbul susulan kenyataan beberapa pengikut Azmin di Twitter selepas mesyuarat parti pada malam tadi.

Mesyuarat di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya itu dihadiri beberapa orang anggota Majlis Pimpinan Pusat dan dipengerusikan oleh Wan Azizah.

Senario lain yang dibincangkan dalam mesyuarat biro politik itu adalah kemungkinan ADUN PAS dipilih oleh Istana menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sumber itu turut menyatakan bahawa isu ini akan diadukan kepada sultan apabila wakil PKR dibenarkan menghadap kelak.

‘MB perlu sokongan majoriti’

Beliau menyatakan bahawa PKR mempunyai hak untuk menjelaskan pendirian mereka kerana Wan Azizah telahpun disokong oleh majoriti ADUN Selangor.

“Kerana itulah kita buat keputusan seperti yang dinyatakan dalam kenyataan kita semalam. Kita hormat keputusan sultan tetapi kita masih mendukung perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri Selangor.

“Dalam itu sebut menteri besar perlu dapat sokongan majoriti dewan,” kata beliau.

Sementara itu Malaysiakini difahamkan bahawa Azmin telahpun bertemu ketua umum Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi untuk membincangkan hal itu dan mengelak salah faham antara mereka.

Sumber dari kem Azmin turut memberitahu Malaysiakini bahawa “perbincangan” tersebut masih lagi berterusan.

Bagaimanapun butir perbincangan peribadi masih lagi tidak dapat didedahkan lagi buat masa ini.

Azmin sebelum ini secara terbuka menyokong pencalonan Wan Azizah sebagai menteri besar walaupun dicalonkan oleh PAS dalam mesyuarat mereka bulan lalu.




0 comments:

share2