Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 21, 2014

SAUDAGAR KETUM



Subang Jaya: Empat lelaki warga Thailand yang bekerja di sebuah restoran tomyam di Puchong Permai, dekat sini, dikesan menjadi ‘saudagar ketum’ dengan menjadikan lokasi belakang premis itu sebagai tempat memproses ramuan berkenaan.

Kegiatan itu terbongkar dalam serbuan jam 9 pagi semalam yang dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya hasil maklumat awam mengenai kegiatan mencurigakan di situ sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, dalam serbuan itu pihaknya berjaya merampas dua kilogram daun ketum, 12 botol air ketum yang siap diproses dipercayai dicampur ramuan tambahan dan pelbagai peralatan memasak seperti tong gas, dapur, periuk, sudu dan plastik untuk membungkus dianggarkan bernilai RM4,000.

“Hasil pemeriksaan mendapati, dua daripada suspek yang berusia antara 19 dan 26 tahun itu tidak memiliki dokumen perjalanan manakala dua rakannya ada dokumen perjalanan sah dan sudah lama bekerja di restoran berkenaan.

“Siasatan awal juga mendapati seorang suspek yang baru tiba minggu lalu adalah individu yang bertanggungjawab membawa masuk daun ketum berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran,” katanya pada sidang media di IPD Subang Jaya, semalam.

Yahaya berkata, siasatan pihaknya mendapati air ketum berkenaan dijual di sekitar kawasan Puchong dan Subang Jaya dengan harga RM10 sebungkus.

“Mereka akan membungkus air itu dalam bungkusan kecil dianggarkan seberat 10 mililiter (ml) sebelum dijual kepada pembeli yang akan datang sendiri ke restoran itu,” katanya.




0 comments:

share2