KEWUJUDAN sampah haram yang ditinggalkan individu tidak bertanggungjawab menimbulkan perasaan tidak puas hati penduduk Taman Tasek Jaya, di sini, dan mereka minta pihak berkenaan mengatasi masalah itu segera.
Penduduk, Mohd Akhir Samsuddin, 28, menggesa pihak berkenaan segera melaksanakan kerja pembersihan di kawasan berkenaan khususnya di setiap lorong belakang di kawasan perumahan berkenaan.
Katanya, semua lorong belakang hampir di setiap kawasan berkenaan dijadikan tempat longgokan sampah haram selain ditumbuhi semak.
“Selain longgokan sampah dan semak, longkang di sini juga sering tersumbat akibat dimasuki sampah dan ini mengakibatkan bau busuk. Saya harap masalah ini ditangani segara kerana cukai taksiran semakin naik, tetapi kenaikannya tidak setara dengan perkhidmatan yang diberikan.
"Kita juga harap agar perkhidmatan mengutip sampah oleh pihak kontraktor Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dapat dilaksanakan dengan lebih berhemah kerana kami dapati ada tong sampah yang tidak ditutup kembali selepas pungutan dibuat dan ada tong sampah yang ditinggalkan di tengah jalan,” katanya.
Sementara itu, Adun Bercham, Cheong Chee Khing yang dihubungi tentang perkara tersebut berharap MBI dapat memantau perkara ini agar ia tidak berlarutan kerana kontraktor perlu meletakkan kembali tong sampah di tempat asal setelah pungutan dibuat.
“Selain itu, kita turut menggesa agar pihak MBI mahupun pihak kontraktor melaksanakan kerja pembersihan di kawasan berkenaan.
“Penduduk setempat pula dinasihati agar tidak membuang sampah sesuka hati, melainkan ke dalam tong sampah di hadapan rumah untuk memudahkan tugasan pungutan sampah dibuat oleh pihak kontraktor,” katanya.
0 comments:
Post a Comment