Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 13, 2014

PESAKIT DITERBANGKAN KE HOSPITAL




Tioman – Seorang penduduk Pulau Tioman yang dipercayai menghidap penyakit jantung telah dihantar ke Hospital Mersing melalui sebuah penerbangan ihsan yang diuruskan oleh pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Difahamkan, pesakit tersebut diterbangkan menggunakan sebuah helikopter EC 725 milik TUDM setelah mendapat kelulusan daripada pihak atasan TUDM.

Kolonel (Dr) Mohammad Razin Kamarulzaman, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi pada 9 Mei lalu dalam sebuah program berkhatan yang diadakan di Poliklinik Kampung Tekek, di sini.

“Kami menerima kes pesakit ini yang disyaki menghidap penyakit jantung ketika Program Jiwa Murni berkhatan sempena 7th Sultan Ahmad Shah TiomanInternational Eco Challenge 2014 iaitu acara berkhatan yang diadakan di Poliklinik Kampung Tekek.

“Keputusan untuk menghantar pesakit tersebut ke Hospital Mersing supaya rawatan lanjut dapat diberikan dicapai setelah berbincang dengan Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan di sana manakala Penerbangan ihsan ini berjaya dilakukan setelah berbincang pihak atasan TUDM,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pesakit tersebut diterbangkan sekitar jam 1.15 petang dan selamat tiba di Hospital Mersing sekitar jam 1.45 petang.

“Bantuan sebegini tidak sebesar mana jika hendak dibandingkan dengan nyawa pesakit tersebut yang perlu diselamatkan.

“Sekalung penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sehingga penerbangan ihsan untuk menyelamatkan pesakit tersebut berjaya dilakukan,” katanya.

0 comments:

share2