Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 29, 2013

HOSPITAL. KLINIK KERAJAAN SENTIASA BERSIAP SEDIA

TEMERLOH - Jabatan Kesihatan Negeri akan memastikan semua perkhidmatan hospital, klinik kesihatan dan klinik desa tidak terjejas semasa bencana banjir akibat musim tengkujuh yang mula melanda pantai timur ketika ini.

Pengarahnya, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, selain itu, menerusi Pelan Tindakan Menghadapi Banjir 2013, sebanyak 105 pasukan perubatan terdiri daripada 525 kakitangan akan digerakkan pada bila-bila masa bagi membantu mangsa banjir.

Menurut beliau, pasukan tersebut terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat, pembantu perawatan kesihatan dan pemandu untuk memberikan rawatan kepada mangsa banjir.

''Selain pasukan perubatan yang mencukupi bagi merawat kes-kes kecemasan di kawasan terputus hubungan, kita akan memastikan bekalan ubat-ubatan serta keperluan rawatan mencukupi untuk merawat mangsa banjir termasuk mereka yang berada di pusat-pusat pemindahan banjir.

''Pasukan ini bertanggungjawab antara lain memastikan pusat-pusat pemindahan dalam keadaan yang memuaskan dan memantau keadaan tandas serta kebersihan persekitaran bagi memastikan tiada tempat berpotensi pembiakan lalat, tikus dan nyamuk," kata Dr. Norhizan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri pelancaran program Masterchef Pesakit Dialisis Pahang Barat yang berlangsung di pekarangan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini kelmarin.

Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Norol Azali Sulaiman.

Menurut beliau, semua cuti anggota yang terlibat secara langsung dan kritikal semasa banjir akan dibekukan berpandukan arahan kerajaan negeri.

Tambahnya, anggota kesihatan di semua klinik perlu menyenaraikan serta mengenal pasti penduduk di kawasan masing-masing terutamanya ibu mengandung yang dijangka bersalin atau yang berisiko tinggi dan mereka yang memerlukan rawatan hemodialisis dan pesakit lumpuh yang memerlukan bantuan khas.

Beliau turut menasihati pengendali makanan supaya mengamalkan langkah-langkah kebersihan bagi mengelak keracunan makanan serta penyakit bawaan air dan makanan.

0 comments:

share2