Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 4, 2013

PEMBALAKAN DAN PERLOMBONGAN PERLU DIPANTAU


KUALA LIPIS - Agensi penguatkuasaan di bawah kerajaan negeri diminta memantau aktiviti pembalakan dan perlombongan supaya tidak berlaku pencemaran sungai sehingga menyebabkan airnya amat tercemar serta menjejaskan kesihatan penduduk sekitarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, kualiti air di beberapa sungai utama di negeri ini seperti Sungai Pahang, Sungai Jelai dan Sungai Semantan menjadi sumber utama bekalan air yang disalurkan kepada rakyat di negeri ini.

Menurut beliau, air sungai yang tercemar tidak boleh diproses oleh Pengurusan Air Pahang (Paip) kerana akan menyebabkan gangguan kesihatan kepada pengguna seperti keracunan dan sebagainya.

"Saya berharap agensi kerajaan seperti Jabatan Tanah dan Galian, Jabatan Hutan dan Jabatan Geosians dan Mineral lebih kerap memantau aktiviti pembalakan dan perlombongan bagi memastikan mereka mematuhi peraturan serta garis panduan ditetapkan.

"Pengawasan perlu dijalankan dengan lebih kerap bagi mengelak berlakunya hakisan tanah atau membuang sisa kimia ke dalam sungai yang akhirnya mengakibatkan air tersebut tercemar dan tidak boleh diproses," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta di Pekan Benta, dekat sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta mengulas tentang pencemaran air Sungai Pahang dan Jelai sehingga menyebabkan loji Paip di Jerantut terpaksa dihentikan sementara akibat air terlalu keruh.

Katanya, pencemaran Sungai Pahang baru-baru ini menyebabkan air menjadi keruh, berkelodak dan mengandungi kimia yang mencecah tahap bacaan 4,100 Nephelometic (NTU) iaitu melebihi kadar 1,000 NTU.

Menurut Mohd. Soffi, bacaan NTU yang melebihi bacaan 1,000 tidak boleh diproses dan perlu dihentikan bagi mengelak pengguna terdedah kepada ancaman kesihatan.

Katanya, Paip tidak mempunyai kuasa untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebabkan berlakunya pencemaran air sungai.

0 comments:

share2