Penguasaan media sosial seperti laman sesawang dan blog sebagai medium menyampaikan maklumat penting dalam usaha memastikan setiap informasi yang disampaikan tepat dan tidak bercanggah dengan fakta.
Menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Mohamed Suffian Awang, masyarakat terutama belia kini lebih mempercayai maklumat yang disampaikan melalui medium terbabit kerana beranggapan lebih telus dan tepat.
Menurutnya, biarpun maklumat yang disampaikan melalui medium itu kebanyakannya bercanggah daripada fakta sebenar namun, masyarakat lebih berminat menggunakannya untuk mengetahui isu semasa terutama membabitkan politik.
"Jadi, sudah sampai masanya kita perlu menguasai media sosial supaya dapat menyebar maklumat tepat sekali gus menepis segala tuduhan dan isu dibangkitkan parti politik pembangkang.
"Kegagalan berbuat demikian menyebabkan masyarakat terus mempercayai dakyah yang dibawa mereka (pembangkang) dengan mencanang maklumat untuk memburukkan kerajaan termasuk menyemai sifat membenci pemerintah sekarang".
Pada pilihan raya umum kali ini, selain gagal merampas Parlimen Kuantan daripada pembangkang, BN juga kehilangan kerusi DUN Tanjung Lumpur dan Teruntum sebaliknya hanya berjaya mempertahankan DUN Inderapura.
Mohamed Suffian berkata, bedah siasat akan diadakan untuk mengenal pasti segala kelemahan dan kekurangan sehingga gagal merampas kerusi Parlimen Kuantan serta tewas di DUN Teruntum dan Tanjung Lumpur.
"Kita telah mengenal pasti beberapa kelemahan kita antaranya berkaitan penggunaan media sosial pada tahap yang lebih optimum supaya tiada peluang dan ruang kepada pembangkang untuk menyebar dakyah penipuan mereka," katanya.
Sementara itu, beliau yang juga calon BN di kerusi Parlimen Kuantan berharap Fuziah Salleh yang dipilih semula sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan menunaikan segala janjinya pada pilihan raya umum.
"Jangan guna alasan mereka (pembangkang) belum membentuk kerajaan, dia (Fuziah) telah dipilih oleh rakyat Kuantan, jadi tunaikan janji-janjinya antaranya untuk menurunkan harga minyak," katanya.
0 comments:
Post a Comment