BILA Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi jaminan - kerjasama Pas dengan DAP-PKR selagi dapat pertahankan Islam, tetapi sekiranya kerjasama itu merugikan Islam, Pas akan keluar daripada pakatan pembangkang, tiada ragu-ragu lagi.
Suatu ketika selepas Revolusi Iran, Abdul Hadi mengambil pendekatan radikal memimpin politik Pas. Isu takfir yang diucapkan di Banggol Peradong tidak sama dengan bahasa politik yang jauh lebih lunak, pragmatik dan mengelirukan kini.
Lunak bermaksud akhir-akhir ini Pas membuat pilihan melakukan tahalluf siasi atau kerjasama politik dengan kelompok bukan Islam yang cauvinis dan sekular. Sebaliknya bersifat dendam, benci dan keras dengan UMNO.
Pragmatik bermaksud Pas mampu pula dalam Pakatan Rakyat menyesuaikan diri dengan politik Anwar Ibrahim. Pas sanggup mengorbankan perjuangan negara Islam dan hududnya dan digantikan dengan Negara Berkebajikan di bawah muafakat Buku Jingga.
Mengelirukan bermaksud Pas yang sekian lama dikenali sebagai parti yang memperjuangkan Islam boleh terjebak dengan isu kalimah Allah dan menyebabkan pendirian dalam kalangan pimpinan utamanya berubah-ubah dan pengikutnya celaru.
Kenyataan Abdul Hadi akan keluar Pakatan sekiranya tidak pertahankan Islam dan merugikan Islam amat tidak relevan sekali melihat kepada senario politik Pakatan kini.
Ternyata penentangan DAP khususnya Karpal Singh terhadap Negara Islam dan hudud adalah menolak Islam dan merugikan perjuangan Islam. Abdul Hadi tahu ini. Sepatutnya Abdul Hadi mengumumkan Pas keluar Pakatan kerana ia tidaklah lagi menguntungkan Islam malah menolak Islam.
Sehingga kini Abdul Hadi tidak menyatakan pendiriannya dengan tegas dan jelas mengenai khilaf kenyataannya mengenai kalimah Allah bersama dengan pemimpin Pakatan pada 8 Januari lalu sedangkan Majlis Syura Pas sepakat menolak penggunaan kalimah Allah dalam versi Bible bahasa Melayu.
Keputusan Majlis Syura adalah keputusan tertinggi dalam hierarki kepimpinan Pas. Khalayak bertanya apakah dengan tidak menyatakan pendirian yang tegas dan jelas mengenai pendiriannya pada 8 Januari itu menandakan Abdul Hadi terus menerima keputusan itu dan membelakangkan keputusan Majlis Syura. Kalau ini yang terjadi ia adalah suatu kesilapan besar dalam sistem politik berjamaah.
Abdul Hadi tidak harus pragmatik dengan politik ambil hati Anwar . Yang jelas dari segi syarak dan jamaah adalah jelas. Apa cara pun Karpal Singh dan Anwar mendesak Abdul Hadi supaya kekal dengan kenyataan 8 Januari sepatutnya Abdul Hadi mesti patuh dengan keputusan Majlis Syura.
Kalau Abdul Hadi ingkar dengan keputusan Majlis Syura bermakna ia tidak layak lagi jadi Presiden dan pertembungan langsungnya dengan Dr. Haron akan terjadi dan ini lebih melemahkan Pas.
Abdul Hadi harus segera menyatakan kepada khalayak bahawa ia akan bersama dengan keputusan Majlis Syura dan dengan sendirinya menghantar mesej kepada Karpal Singh dan Anwar bahawa perkara syarak jauh lebih penting daripada muslihat politik semasa.
Kalau Anwar dan Karpal Singh enggan menerima kenyataan Abdul Hadi itu bermakna mereka menolak keputusan syarak dan menolak keputusan ini kata Dr. Haron boleh membawa kufur dan syirik. Kufur dan syirik boleh memberi makna menolak Islam.
Oleh itu kenyataan Abdul Hadi di Kampung Banggol Peradong itu tidak lagi relevan. Pas tidak mampu mempertahankan Islam bersama dengan Pakatan. Negara Islam dan hudud ditolak, kalimah Allah dipertikai adalah bukti nyata Islam tidak boleh diterima oleh mereka. Kalau begitu Pas tunggu apa lagi. Abdul Hadi tidak harus pragmatik lagi dengan apa yang berlaku. Ambil keputusan berani supaya Islam terselamat.
Abdul Hadi amat maklum bahawa DAP memperjuangkan sistem sosialis demokratik dan mengambil pendekatan Malaysian Malaysia. PKR mengambil pendekatan liberal dan pluralis dan pragmatik untuk membolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri.
Bolehkah dengan Pas bertanding di 62 kerusi, DAP dan PKR lebih dominan dari itu menyebabkan DAP-PKR boleh menerima Islam sebagai asas bernegara sedangkan sebelum menguasai Putrajaya terlalu banyak isu Islam yang berbangkit apalagi selepas masing-masing ada kuasa.
0 comments:
Post a Comment