Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 22, 2013

Pakatan Umpama Tong Kosong


KALAU orang bertanya, tong siapa yang kuat bunyinya apabila diketuk, tentulah ramai yang kata pakatan pembangkang. Sebabnya, isi dalamnya kosong dan bunyinya sampai berdesing telinga.

Berbeza dengan tong yang diketuk oleh Barisan Nasional (BN), bunyinya padat sebab dalamnya berisi. Ini juga kerana BN mengetuk pintu hati rakyat.

Maka, pakatan pembangkang kenalah terima hakikat bahawa di Negeri Sembilan, mereka sudah tidak popular dan ramai yang dahulunya menyokong mereka, sudah kembali menerima BN. Apa tidaknya, segala cakap DAP, Pas mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah tidak boleh dipercayai.

Ini kerana Pas umpamanya gagal dalam isu kalimah Allah. Sebagai sebuah parti Islam, Pas terumbang-ambing dalam mempertahankan kalimah suci ini apatah lagi menerima asakan daripada rakan sekutu, DAP dan PKR.

PKR pula, lebih banyak mengkritik dasar kerajaan BN, tetapi hakikatnya kerja yang dilakukan oleh mereka di Negeri Sembilan ini tidaklah sehebat mana. Dasar UBAH yang dilaungkan juga, tidak menunjukkan perubahan yang baik dalam PKR di negeri ini. Soalnya, UBAH dulu dalam pakatan pembangkang, jika mahu bercakap soal UBAH kepimpinan negara.

Dalam Buku Jingga pun banyak yang tidak diselesaikan terutama sekali di negeri yang dikuasai pembangkang. Berapa ramai yang masih menderita, kononnya mahu membela golongan termiskin isi rumah berpendapatan di bawah RM1,500, sedangkan di Negeri Sembilan sudah lebih 30,000 keluarga miskin dijaring di bawah Dasar Jaringan Keselamatan Sosial di bawah kerajaan BN.

Mana ada ketelusan dalam pakatan pembangkang, kononnya mahu mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin hak kebebasan beragama setiap rakyat Malaysia. Ini ada dalam Buku Jingga mereka.

Isu kalimah Allah pun ada yang tidak dapat mempertahankannya, sama ada PKR mahupun Pas. Hari ini DAP masih lantang bersuara mengkritik Majlis Syura Ulama Pas dalam isu ini.

Maka, tidak perlulah berceramah ke hulu, ke hilir bercakap soal mempertahankan Islam. Kalau sudah ada pihak yang menyeru keluar daripada pakatan pembangkang, seeloknya Pas ‘beristiqarah’ untuk memperlihatkan mereka keluar daripada pakatan pembangkang dan bertanding atas tiket sendiri.

Pembangkang masih terus mengkritik dalam ceramah perdana mereka, soal ketidakupayaan kerajaan negeri dalam menguruskan sumber kewangannya dan bertekad menyebut bahawa kerajaan negeri ini muflis, gagal dalam pengurusan institusi Islam seperti Baitulmal dan Tabung Haji.

Hari ini sahaja, kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengumumkan bahawa rezab kerajaan negeri adalah sebanyak RM509 juta, yang boleh membayar gaji penjawat awam untuk beberapa bulan, seandainya tiada langsung perolehan dalam pendapatan negeri.

Di bawah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) pula khususnya Baitulmal, banyak bantuan telah diberikan kepada umat Islam, bukan sahaja dalam aspek kebajikan bulanan, tetapi pendidikan, perniagaan, kesihatan dan sebagainya.

Begitu juga dalam pengurusan Tabung Haji, yang mana pada 7 Februari lalu, institusi ini mengumumkan bonus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012 sebanyak 8 peratus, kadar tertinggi sejak penubuhannya 50 tahun lalu. Jelas apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri, MAINS dan Tabung Haji itu membuktikan tahap kecekapan pengurusan agensi tersebut dan kekuatan ekonomi oleh kerajaan.

Dalam risalah Keadilan yang dikeluarkan baru-baru ini, DAP terus dianggap hero apabila bercakap soal hak orang Melayu dengan jaminan yang dibuat berdasarkan angka kerusi yang mereka tandingi sekadar 11 berbanding dengan Pas 12 kerusi dan PKR 13 kerusi.

Dengan sentimen Melayu dan Islam, DAP menyebut lebih 60 peratus yang bertanding itu adalah pemimpin Melayu dan Islam, maka kuasa orang Melayu tidak akan hilang. Sesiapa pun boleh membuat kenyataan sedemikian dan pengundi lebih tahu siapa DAP dalam permainan politik di Negeri Sembilan ini.

Mereka menyebut dalam risalah itu bahawa calon pakatan pembangkang, khususnya Pas dan PKR ini lebih Islamik dan lebih Melayu di atas dasar perjuangan mereka untuk membela nasib orang Melayu yang kononnya tertinggal jauh di bawah kepimpinan UMNO. Kalau benar mereka lebih Islamik, maka bertaubatlah daripada keseronokan menabur fitnah, kafir mengkafir, memecah belahkan kesatuan umat dan sebagainya.

Begitu juga dalam risalah itu menyebut, pemimpin Pas dan PKR majoritinya boleh menjadi imam di surau mahupun masjid. Maka dalam hal ini adalah lebih baik tugas sebagai imam itu digunakan untuk menyatukan umat Islam daripada menjadikan surau mahupun masjid sebagai medan dakwah politik.

Maka Pas dan PKR juga sepatutnya menjadi imam kepada kebaikan dan bukan imam yang diperkotak-katikkan oleh DAP dalam isu kalimah Allah.

Seperkara lagi, tuduhan Pas mengatakan UMNO pengkhianat Melayu di negeri ini, amat dahsyat. Ia adalah satu kebiadapan terhadap UMNO yang dalamnya ada orang Melayu dan Islam. Dalam hal ini, Pas Negeri Sembilan semakin tertekan, sama seperti DAP dan PKR yang sanggup melakukan apa sahaja demi kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Strategi yang dipakai semakin ekstremis, bahasa dan tuduhan semakin melampau, sedangkan ketika ini DAP semakin santai mengatur strategi meraih keuntungan daripada pengundi di kalangan masyarakat Cina.

Kajian yang dibuat oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL) Universiti Malaya tahun lalu menunjukkan ia berpihak kepada BN Negeri Sembilan dalam pilihan raya umum ini dan 69 peratus orang Melayu, 48 peratus kaum Cina dan 62 peratus orang India menyokong BN.

Sokongan pengundi di Negeri Sembilan pada tahun ini, kini bertambah baik daripada angka yang dibuat oleh UMCEDEL itu selepas transformasi kerajaan dan pelaksanaan Bajet 2013 untuk rakyat.

Daripada kajian dalam kalangan pengamal politik juga sedang menunjukkan kesan sampingan kegagalan dalam mempertahankan kalimah Allah, Pas bakal menyaksikan mereka kehilangan banyak kerusi pada pilihan raya umum nanti di Negeri Sembilan.

Sentimen tidak percaya kepada pucuk kepimpinan PKR, isu tidak relevansi individu berprofil tinggi dalam PKR juga bakal menyaksikan keruntuhan kerusi di Telok Kemang, Port Dickson, Chuah, Ampangan dan Sikamat. Orang ramai di negeri ini tidak suka ideologi ekstremis dan agresif melampau dalam PKR yang meletakkan kebencian tinggi terhadap sesuatu perkara.

Peringatan juga kepada DAP bahawa kerusi di Repah, Lukut, Senawang, Rahang, Temiang, Bahau, Seremban dan Nilai belum tentu selamat untuk dimenangi pada pilihan raya umum, walaupun kedudukan selesa di Mambau, Bukit Kepayang, Lobak dan Rasah, yang kononnya menjadi kubu kuat mereka.

Banyak juga kedengaran kisah tidak puas hati akar umbi ketika diminta membantu kempen pilihan raya, pasang bendera dan sebagainya pada pilihan raya umum ke-12 lalu. Imbuhan yang tidak setimpal, membuatkan jentera bawahan insaf untuk membantu DAP pada kali ini.

Pendek kata, pakatan pembangkang bolehlah mengetuk tong sekuat hati mereka, kerana isinya kosong di Negeri Sembilan ini. Janji dalam manifesto mereka pada pilihan raya kali ini pun, banyak telah dilaksanakan oleh kerajaan BN.

Yang pasti, kerajaan BN tidak mengetuk tong seperti pembangkang, tetapi mengetuk pintu hati rakyat. UMNO, MIC, MCA, PPP dan Gerakan bersatu atas nama BN.

0 comments:

share2