Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 13, 2013

Trend Migrasi Warga Asing


SEJAK beberapa dekad lalu, Malaysia seolah-olah semakin ‘diambil alih’ oleh warga asing. Dahulu hanya di bandar-bandar tetapi kini sehingga di ceruk pedalaman dan kampung-kampung juga sudah ada ‘koloni’ warga asing.

Sebahagian daripada mereka masuk secara sah, namun ramai juga yang masuk secara haram dan kebanyakannya datang mencari rezeki serta kehidupan lebih baik untuk diri dan keluarga.

Sama ada disebabkan pengangguran, kepadatan penduduk, perbezaan gaji dan nilai mata wang, bencana alam, peperangan, penindasan, mahupun melarikan diri daripada pihak berkuasa negara asal, setiap warga asing ini mempunyai kisah tersendiri.

Pada asalnya, kehadiran mereka memenuhi kerja-kerja buruh kasar yang ‘tidak digemari’ rakyat tempatan tetapi kemudian mula mengambil alih ruang di kilang-kilang, kerja separa mahir dan mahir apabila ramai majikan yang tamak memilih menggaji warga asing daripada orang tempatan.

Ada juga dalam kalangan warga asing ini yang telah berpuluh tahun tinggal di Malaysia dan negara-negara lain, bukan sahaja membawa masuk keluarga mereka malahan telah menjadi ‘bos’ perniagaan sendiri, secara sah ataupun haram.

Satu kajian pada 2010 di Eropah menunjukkan pemilik perniagaan lebih propekerja asing kerana melihat kos dan keuntungan berganda tetapi sokongan mereka berubah apabila warga asing terbabit menjadi pesaing terhadap perniagaan mereka pula.

Mereka yang dahulunya menjadi buruh dan pekerja murah kini menjadi majikan dan pesaing kepada usahawan dan peniaga tempatan, seperti dalam sektor binaan khususnya kerja-kerja pengubahsuaian rumah.

Tidak kurang juga warga asing yang kemudiannya membentuk ‘sindiket’ membawa masuk rakan senegara mereka mahupun menjadikan negara tertentu sebagai pusat transit untuk warga asing ke negara destinasi akhir.

Trend migrasi sememangnya bukan hanya berlaku di Malaysia dengan anggaran global pada 2005 sahaja telah mencecah 200 juta individu, iaitu tiga peratus populasi bumi, berbanding sekitar 165 juta pada 1990.

Sekitar 60 peratus daripada jumlah tersebut memilih negara-negara maju sebagai destinasi akhir dengan Eropah sebagai destinasi utama (70 juta orang), Amerika Syarikat (AS, 45 juta orang) dan Asia (25 juta orang).

Bank dunia menganggarkan aliran keluar tunai hasil pendapatan migran berjumlah AS$420 bilion (RM1.28 trilion) pada 2009 dengan AS$317 bilion (RM0.97 trilion) datangnya dari negara-negara maju.

United Kingdom (UK), Perancis dan Jerman mencatatkan bilangan imigran yang tinggi sejak tamatnya Perang Dunia Kedua atas keperluan tenaga kerja yang ramai untuk membaik pulih kemusnahan teruk akibat perang. Ramai daripada pekerja asing tersebut terus menetap di negara-negara berkenaan.

Di London contohnya, kanak-kanak berketurunan kulit hitam dan Asia telah melangkaui bilangan anak kulit putih dengan nisbah 6:4 di sekolah-sekolah awam, sementara kadar imigran menerima kerakyatan British meningkat lebih 10 peratus setahun, majoritinya dari Pakistan, India dan Somalia.

Kebanyakan pekerja asing dan imigran di seluruh dunia kini juga dilaporkan datang dari negara-negara rantau Asia khususnya dari India, Asia Tenggara dan juga benua Afrika.

Selain itu, beberapa negara Asia, termasuk Malaysia, Singapura, Hong Kong dan negara di Asia Barat turut mengalami kebanjiran warga asing yang rata-rata terdiri daripada rakyat dari China, India, Bangladesh, Myanmar, Filipina dan Indonesia.

Kebanyakan kes kebanjiran warga asing rantau Asia juga melibatkan pendatang dari negara jiran terdekat seperti India yang terpaksa membina penghadang sepanjang 4,000 kilometer di sempadannya dengan Bangladesh bagi mengekang kemasukan pendatang haram.

Walaupun negara maju menjadi sasaran utama, namun kebanyakan imigran dilihat memilih negara-negara jiran terdekat atas faktor sosiobudaya atau sebagai pilihan sementara sebelum beralih ke negara destinasi akhir.

Australia dan New Zealand mencatatkan peningkatan mendadak warga asing sejak sedekad lalu dengan anggaran 200,000 orang imigran tiba di Australia pada 2012 berbanding 30,000 pada 1993 sementara 40,000 hingga 50,000 imigran baharu ke New Zealand pada setiap tahun.

Kedua-dua negara itu mencatatkan majoriti imigran tenaga mahir yang berhijrah atau mengikut keluarga, sementara selebihnya masuk secara haram, pelarian perang atau pemohon suaka politik.

Jepun pula mengambil pendekatan unik dengan fokus kepada teknologi daripada mengambil pekerja asing, sementara undang-undang ketat dilaksanakan bagi menyekat migrasi, menetap mahupun memohon suaka politik di negara matahari terbit itu.

Pemimpin Jepun pernah menggambarkan hal ini sebagai ‘satu negara, satu tamadun, satu bahasa, satu budaya dan satu bangsa’ tetapi faktor tenaga kerja berusia dan kadar kelahiran rendah telah melonggarkan penerimaan imigran ke negara itu.

Kebanyakan daripada kumpulan kecil imigran di Jepun kini terdiri daripada warga Korea, China, Taiwan, Hong Kong dan Brazil khususnya yang mempunyai warisan darah Jepun atau berhijrah demi peluang perniagaan.

Secara umumnya, kebanyakan pekerja asing yang memilih negara-negara rantau Asia bekerja sebagai buruh kasar dalam sektor pembinaan, peladangan, pengilangan dan kerja kurang mahir yang lain, sementara yang berpendidikan ‘lari’ ke negara maju dan berpendapatan tinggi.

Hakikatnya, manusia akan berpindah-randah mengikut peluang kerja, gaya hidup dan kemampuan mereka tetapi kerajaan setiap negara perlu mencari keseimbangan antara keperluan tenaga kerja tanpa menjejaskan sosiobudaya mahupun ekonomi penduduk tempatan.

Masalah akan mula timbul jika jumlah warga asing terlalu besar sehingga menyebabkan penduduk tempatan berasa kurang selesa, khususnya melibatkan aspek jenayah dan ‘mencuri’ peluang orang tempatan.

0 comments:

share2