BAGI mencapai agenda menawan Putrajaya, pakatan pembangkang menjadikan awal tahun 2013 sebagai medan himpunan rakyat. Khabarnya pembangkang berhasrat hendak mengumpul sejuta orang pada Himpunan Shamsidar hari ini di ibu kota Kuala Lumpur.
Inilah strategi terakhir pembangkang dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 untuk mempertahan dan meluaskan kemenangannya bagi menawan Putrajaya.
Ternyata pembangkang mahu mengulangi demonstrasi menjelang PRU-12 pada 2008 yang mereka anggap meraih kejayaan besar melalui sokongan undi rakyat hingga menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional di Parlimen.
Tetapi pakatan pembangkang sudah lupa bahawa Perdana Menteri ketika itu adalah orang lain. Dan sekarang Perdana Menteri kita ialah Datuk Seri Najib Tun Razak. Banyak transformasi dalam pentadbiran, ekonomi dan politik telah dilakukannya. Misalnya dalam soal kebajikan dan mengurangkan beban kehidupan rakyat, bantuan-bantuan atas nama 1Malaysia disalurkan.
Dahulu sebelum 2008, memang kerajaan pada masa itu kurang mendapat sokongan rakyat melalui dasar-dasar yang dilaksanakan.
Tetapi sekarang suasana pentadbiran kerajaan yang kini banyak mendengar suara rakyat, pendekatannya jauh berbeza.
Suasana 2008 dengan sekarang tak sama. Tinggal lagi pihak pembangkang sahaja yang tidak berubah dengan pemimpin tertingginya dan gaya politik yang di takuk sama.
Apakah masih ada lagi isu-isu belum selesai misalnya soal Lynas, Felda, royalti minyak, Rapid Pengerang, tuntutan Bersih, pembelian kapal selam dan banyak lagi isu rasuah dan penyelewengan? Bukankah mahkamah telah membuat keputusannya dalam penjelasan isu Lynas, Felda dan isu-isu lain jika ada pun adalah di bawah kuasa mahkamah.
Mengapa pakatan pembangkang masih mengungkit isu-isu tersebut seolah-olah tidak menghormati keputusan mahkamah.
Pembangkang sebenarnya terdesak dan mahu menjadikan Himpunan Shamsidar hari ini sebagai simbol penolakan rakyat terhadap BN.
Tanpa melihat diri sendiri dan kerajaan Pas di Kelantan dan Kedah, DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor, mereka buat tuduhan melulu kerajaan BN merompak hak rakyat. Pas, DAP dan PKR kena cermin diri sendiri apa yang telah mereka lakukan kepada rakyat negeri masing-masing. Berjuta-juta rakyat mengeluh dan menderita dengan corak pemerintahan mereka yang tidak mesra rakyat.
Hari ini penganjur Himpunan Shamsidar merancang mengajak rakyat membanjiri dataran Stadium Merdeka untuk menjayakan perubahan. Mereka mahu himpunan ini sebagai himpunan terbesar dalam sejarah Malaysia.
Jika diteliti, bagaimana himpunan ini tidak patut disertai jika keamanan dan kestabilan penduduk kota Kuala Lumpur terjejas. Himpunan yang melibatkan banyak laluan masuk ke Stadium Merdeka pasti terjejas teruk.
Pemandu teksi ibu kota sudah mengeluh begitu juga peniaga-peniaga. Mampukah pakatan pembangkang menjamin mereka akan mematuhi Akta Himpunan Aman?
Dalam rekod, apabila pakatan pembangkang menyertai demonstrasi, ia berakhir dengan rusuhan. Paling teruk ialah Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012 apabila kenderaan dan anggota polis diserang dan dimusnahkan. Siapa yang melakukannya? Pihak mana yang membuat provokasi dan mengganggu kawalan polis.
Sebenarnya pembangkang mahu mengambil peluang terakhir menjelang PRU-13 ini untuk mengajak penyokongnya turun beramai-ramai menawan Stadium Merdeka dan berkubu di sana sehingga hari pengundian PRU-13.
Mereka ingin mencatat lakaran penting dalam lipatan sejarah negara dengan berhimpun di Stadium Merdeka yang penuh sejarah itu setelah gagal menawan Dataran Merdeka tahun lalu.
Majoriti rakyat sesungguhnya tidak mahu pun kebangkitan rakyat melalui himpunan. Rakyat yang tidak puas hati dengan kerajaan yang memerintah boleh mengajar pemimpin melalui kuasa undi mereka.
Jika mereka mahu ubah kerajaan, mereka boleh mengubahnya melalui peti undi. Tidak perlu mereka turun ke jalan raya dan menyusahkan orang awam yang lain. Tidak perlu berjalan jauh dan disembur gas dan pemedih mata.
Rakyat yang bijak akan menggunakan peti undi.
Cara yang digunakan pakatan pembangkang dengan meniru gelombang tunjuk perasaan ala-Arab Spring untuk menumbangkan pemimpin dan kerajaan, tidak berpijak di bumi nyata.
Rakyat perlu disedarkan bahawa pendekatan ini dengan simbol tangan telah banyak diguna dalam kebangkitan rakyat di luar negara. Kebanyakannya pula mendapat dana daripada kuasa asing.
Pendekatan begini memang digemari oleh Anwar Ibrahim. Melalui himpunan begini diharap penyokong pembangkang akan lupa kes yang dihadapi dan yang dibawanya sendiri ke mahkamah yang melibatkan Shamsidar Tahir sebagai saksi.
Melalui perhimpunan ini juga rakyat Malaysia terleka dan terlupa seketika isu-isu melibatkan kerajaan-kerajaan negeri di bawah kuasa pakatan pembangkang.
Melalui perhimpunan ini juga diharap berlaku rusuhan berpanjangan seperti di negara Arab dan rakyat akan bangkit menumbangkan BN secara tidak demokrasi.
Sekarang rakyat Malaysia yang telah berjaya didaftarkan sebagai pengundi boleh membuat satu daripada dua pilihan. Mahu memilih dan ikut Najib atau memenuhi cita-cita Anwar sebagai Perdana Menteri?
Pilih Najib - rakyat boleh membantu memenuhi agenda sosial, ekonomi dan politik bagi mencapai Wawasan 2020. Pilih Anwar - rakyat boleh terperangkap dengan pengaruh kuasa asing kerana memilih pemimpin yang penuh kontroversi.
Saya rasa orang UMNO secara khusus dan BN secara am lebih matang dari bahalul Pakatan Rakyat yang memilih individu.
Pilihanraya akan datang bukan soal individu. Bukan antara Najib dan Anuar. Apa yang PM Najib lakukan dengan jayanya semua orang faham bukan atas dasar kapasiti individu yakni sebagai Najib tetapi sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Sebagai satu institusi bukan secara peribadi.
Inilah yang membezakan UMNO/BN dengan Pakatan Rakyat. Perjuangan UMNO/BN bukan untuk individu.
Janganlah kita terikut-rikut rentak Pakatan Rakyat yang berjuang untuk Anuar.
* Walaubagaimanapun saya faham pihak admin datang dari Pahang. Maka sentimen keperibadian itu pasti ada. Siapa tak bangga rakyat negeri sendiri menjadi PM yang cemerlang. Tetapi sekadar hendak mengingatkan. Perjuangan UMNO/BN bukan untuk individu.