Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 13, 2013

WARGA ASING SUDAH MENJAJAH KITA ?



SEMASA era penghujung tahun 1980-an, warga asing mula berhijrah ke Malaysia untuk bekerja sepenuh masa. Ketika itu, kebanyakan pekerja asing terdiri daripada rakyat Indonesia sahaja. Kedatangan mereka disambut baik oleh rakyat Malaysia kerana mereka telah banyak membantu membangunkan ekonomi negara.

Tahun 1990-an, Malaysia telah beralih sepenuhnya daripada sebuah negara berpaksikan pertanian kepada negara berteraskan industri. Banyak kilang dibina, maka, mahu tidak mahu Malaysia terpaksa mengimport warga asing. Rakyat kita tidak terkecuali mula bekerja di kilang terutamanya wanita muda.

Pekerjaan sebagai pembantu rumah atau amah sudah tidak digemari oleh wanita muda tempatan. Bagi mereka, bekerja sebagai pekerja kilang lebih bebas. Trend perindustrian di Malaysia berterusan dengan pesatnya telah membawa warga asing datang bekerja ke Malaysia. Mereka ini bukan sekadar bekerja sebagai pekerja perindustrian, malahan kedatangan wanita warga asing sebagai pembantu rumah mengambil alih peranan wanita Malaysia.

Kemajuan perindustrian di Malaysia telah meningkatkan ekonomi negara. Lebih banyak bangunan-bangunan baru dibina dan sekali lagi kita terpaksa mengimport buruh asing. Meskipun negara kita pernah mengalami kemelesetan ekonomi 15 tahun yang lalu, namun demikian jumlah warga asing yang datang bekerja ke Malaysia tidak pernah berkurangan.

Jumlah mereka semakin bertambah sehinggakan mereka semakin berani dalam banyak segi. Pertama, jumlah kadar jenayah seperti merompak, pelacuran, menipu, merogol dan pecah rumah semakin bertambah dalam kalangan warga asing.

Kedua, mereka bermaharajalela berniaga di negara kita tanpa langsung rasa gentar dikenakan tindakan. Ketiga, mereka berani mengganggu penduduk tempatan terutamanya gadis-gadis tempatan. Keempat, mereka semakin berani membuat kacau seperti bergaduh sesama sendiri sehingga menakutkan penduduk tempatan.

Kelima, mereka semakin berani mengimport budaya buruk kehidupan mereka ke negara kita seperti mengemis di jalan raya yang sesak dengan kenderaan dan minum minuman keras di khalayak ramai.

Jumlah mereka yang semakin ramai menyebabkan keselamatan negara kita boleh tergugat pada bila-bila masa sahaja. Bayangkan apa yang akan terjadi jika mereka melakukan rusuhan secara besaran-besaran. Mampukah pihak penguatkuasa menangani mereka ketika rusuhan berlaku?

Tidak terkecuali mereka ini jugalah boleh dibayar untuk berarak di jalanan dengan mengadakan pelbagai demonstrasi yang ditaja oleh pihak tertentu. Amat menghairankan, pihak penguat kuasa tidak mengambil satu tindakan secara holistik menangani pendatang asing.

Yang ada, tindakan-tindakan kecil yang tidak langsung menakutkan mereka, jauh sekali membanteras kegiatan jenayah mereka. Mereka tidak gentar mengulangi kegiatan mereka. Umpamanya, acap kali kita dengar serbuan dibuat terhadap kelab-kelab malam yang menjadi sarang pelacuran warga asing. Meskipun diserbu berpuluh-puluh kali sekali pun, warga asing tetap bermaharajalela melakukan kegiatan terkutuk tersebut.

Satu lagi yang amat membingungkan penulis apabila mereka ini terang-terangan berniaga. Bukan sekadar berniaga di gerai-gerai tepi jalan, tetapi ada dalam kalangan mereka berniaga menggunakan premis. Tidak cukup dengan itu, bahasa yang digunakan pula bahasa ibunda mereka.

Jenguk-jenguklah di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) dan Taman Tanming Jaya, Balakong. Premis di Jalan TAR terang-terangan menggunakan bahasa Indonesia manakala sebuah premis perniagaan di Taman Tanming Jaya pula tertera bahasa Myanmar. Di manakah pihak berkuasa tempatan (PBT)?

Cukup membinggungkan kerana kita sendiri sebagai warga Malaysia tidak berani dengan mereka sedangkan mereka pula saban hari semakin berani dan bermaharajalela. PBT sepatutnya membantu pihak penguat kuasa yang lain terutamanya imigresen untuk membanteras kegiatan warga asing.

Sebaik-baiknya mereka ini tidak langsung diberi muka untuk berniaga. Bagi warga negara Malaysia yang menjual premis atau menyewa premis perniagaan kepada warga asing, mereka ini perlu diambil tindakan paling tegas. Mereka inilah antara faktor penyebab warga asing semakin berani dan menidakkan hak rakyat tempatan.

Malahan, tidak keterlaluan dikatakan mereka ini jugalah yang menyebabkan rakyat Malaysia sendiri berada dalam keadaan ketakutan kerana semakin ramai warga asing datang ke Malaysia. Bagi mereka, Malaysia tempat yang mudah untuk berniaga.

Di negara asal mereka, mereka bukan sahaja tidak dibenarkan berniaga, malahan mereka ditindas dengan teruknya. Di Malaysia, kita terlalu memberi muka terhadap warga asing sampaikan nasib rakyat Malaysia dipinggirkan.

Warga asing yang datang ke Malaysia kini terdiri dari pelbagai negara. Warga asing dari negara Afrika pula semakin bertambah dari semasa ke semasa. Mereka ini cerdik untuk menipu warga tempatan. Sudah begitu banyak kerugian wang ringgit yang melibatkan warga tempatan. Tetapi mana perginya tindakan ke atas mereka?

Amat membimbangkan jika keadaan ini tidak ditangani dengan baik, suatu hari nanti, warga asing akan menguasai Malaysia dengan penguasaan ekonomi negara.

Jika ini berlaku, kita sudah tidak bebas dari erti kata sebenar. Ini tidak mustahil berlaku kerana sudah nampak petanda mereka semakin menguasai perniagaan dan ekonomi. Tangani segera sebelum terlambat demi anak cucu cicit kita. Menyesal kemudian tiada gunanya.

1 comments:

  • Anonymous says:
    January 13, 2013 at 1:03 PM

    apakah tindakan menteri dalam negeri mengapa tak ambil tindakan memang mentrr mangkuk hayun yang asyik tersengih

share2