Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 1, 2012

Bertindak Tegas Dalam Isu Netbook 1Malaysia


KUANTAN – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Timur akan bertindak lebih tegas dalam proses pengagihan komputer riba di bawah program Netbook 1Malaysia bagi fasa ketiga kali ini bagi mengelakkan pelajar berkelayakan terus tercicir manakala mereka yang tidak layak pula menerimanya.

Pengarah SKMM Wilayah Timur, Datuk Mohd Shafie Harun berkata, secara keseluruhan pihaknya akan mengagihkan sebanyak 78,000 unit komputer riba bagi tiga fasa sebelum berakhir penggal persekolahan tahun ini.

“Bagi fasa ketiga ini sebanyak 37,000 unit kepada pelajar negeri ini termasuk 3,100 unit di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Teruntum dan 2,700 unit di Tanjung Lumpur akan diberikan dalam tempoh terdekat ini.

“Sebelum ini kami telah mengagihkan 18,500 unit pada fasa pertama dan 7,700 unit pada fasa kedua dan sekali gus telah berjaya mengesan pemalsuan maklumat keluarga dan pelajar di negeri ini.

“Jadi kami akan bertindak lebih tegas agar berlaku berlaku adil dalam pengagihan netbook tersebut, walaupun hanya segelintir sahaja perbuatan itu dapat dikesan, namun perkara tersebut tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia akan menjejaskan pengagihan kepada pelajar yang lebih layak,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, jika SKMM dapat mengesan terdapat pemalsuan dan maklumat yang tidak tepat mengenai penerima, secara automatik namanya akan dibuang terus daripada senarai.

“Dalam pengagihan sebelum ini kita telah mengesan beberapa pemalsuan maklumat terutama berkaitan pendapatan isi rumah keluarga pelajar tersebut yang melebihi RM3,000 sebulan di mana telah diletakkan di bawah paras RM3,000 bagi menunjukkan kelayakan mereka.

“Terdapat segelintir pelajar terdiri daripada golongan anak-anak ahli peniagaan, kaki tangan awam dan mereka berpendapatan tinggi memohon untuk mendapatkan netbook ini.

“Dalam pada itu, kita juga akan pastikan tidak ada kes di mana di dalam satu keluarga menerima dua unit netbook 1Malaysia,” katanya.

Katanya, tindakan lebih tegas akan dilakukan dalam pengagihan fasa ketiga ini bagi memastikan semua pelajar yang berhak menerimanya memandangkan terdapat banyak rungutan dan aduan daripada pelajar dan ibu bapa.

“Namun bagi pelajar dan ibu bapa yang tidak berjaya menerima dan layak boleh membuat rayuan tersebut sebelum penggal persekolahan tahun ini tamat.

“Bagi mereka yang berada di kawasan sekitar bandar boleh mengemukakan rayuan sama ada di pihak sekolah, pejabat pendidikan berhampiran atau datang sendiri ke pejabat SKMM manakala bagi yang menetap jauh boleh dilakukan di pejabat kawasan Dun atau Parlimen masing-masing.

Sementara itu, katanya, selepas mendapat netbook pelajar wajib melanggan Jalur Lebar dengan pakej-pakej istimewa yang telah ditawarkan mengikut kemampuan.

“Dalam masa yang sama juga, bagi pelajar yang kurang kemampuan SKMM telah membina 318 lokasi kampung tanpa wayar di seluruh negeri Pahang dan mereka boleh mengakses secara percuma.

“Dalam pada itu SKMM turut merancang untuk menambah lagi bilangan lokasi kampung tanpa wayar yang kini masih lagi dalam proses mengenal pasti,” katanya.

0 comments:

share2