Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 1, 2012

Usaha Seludup Minyak Digagalkan


KUALA ROMPIN - Polis Rompin berjaya menahan berasingan dua lori tangki yang sarat dengan muatan 38,000 liter dipercayai diesel bersubsidi bernilai kira-kira RM75,000 awal pagi, semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, dua lori tangki itu masing-masing mempunyai muatan diesel bersubsidi seberat 19,000 liter dipercayai dalam jadual perjalanan yang sama dari Endau ke Kuala Rompin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan Unit Peronda Polis (MPV) menahan sebuah kenderaan berat terbabit di Bandar Kuala Rompin.

“Pada ketika itu, hanya sebuah lori tangki ditahan kerana polis difahamkan, terdapat sebuah lagi lori tangki terpaksa berpatah balik ke Tanjung Gemok kerana mengalami kerosakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan dijalankan, seorang pemandu lelaki berusia lingkungan 30-an gagal menunjukkan dokumen yang diperlukan sebelum polis menahan lelaki berkenaan untuk membantu siasatan.

“Selepas polis mendapat tahu sebuah lagi lori tangki dalam perjalanan ke Tanjung Gemok, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin terus menghubungi Balai Polis Tanjung Gemok bagi mengesan sebuah lagi lori tangki terbabit.

“Pada mulanya, kedua-dua lori tangki itu dalam perjalanan yang sama, namun sebelum sampai ke Kuala Rompin, sebuah daripada lori tangki mengalami kerosakan dan berpatah semula ke Endau untuk mencari mekanik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sebaik sahaja lori itu tiba di Taman Wawasan 2 Tanjung Gemok, kenderaan terbabit berhenti secara tiba-tiba sebelum terserempak dengan anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan tersebut.

“Terdapat dua suspek lelaki iaitu seorang pemandu dan seorang kelindan lori tersebut didapati dalam keadaan mencurigakan.

“Polis mendapati pemandunya gagal menunjukkan dokumen berkaitan dan pihak kami menahan lori berkenaan kerana disyaki membawa keluar diesel bersubsidi,” katanya.
Johari berkata, kesemua suspek yang dianggarkan berusia 30-an itu ditahan dan kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membolehkan mereka terlibat didenda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara jika sabit kesalahan,” katanya.

0 comments:

share2