Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 26, 2012

Debat Tantawi Menyinggung Emosi Karpal Singh


PENULIS sempat menyaksikan debat Fathul Bari Mat Jahaya dengan Nasarudin Tantawi di Astro Awani baru-baru ini. Pada hemat penulis Fathul adalah tokoh muda yang berpotensi kerana hujah-hujahnya berasaskan nas atau rujukan Quran dan Sirah agak kemas. Sementara Nasruddin banyak melakukan singgungan politik untuk meyakinkan pendengar dan penonton.

Salah satu singgungan untuk meyakinkan pendengar dan penonton, Nasruddin menyatakan perkembangan baru dalam pakatan pembangkang bahawa DAP mula memahami dan menerima pendirian Pas mengenai Negara Islam.

Ini ditempelak oleh Karpal Singh, Pengerusi DAP dalam New Straits Times (21 Julai 2012). "Saya tidak akan bertolak ansur. Saya sentiasa dikenali umum dan mutlak dengan pendirian saya bahawa tidak akan bersetuju hudud dilaksanakan di negara ini".

Tempelak Karpal Singh itu dengan sendirinya menafikan kenyataan Nasruddin di majlis debat itu. Apakah Nasruddin main politik dengan memberikan kenyataan yang tidak wujud atau sekadar mengambil hati penyokongnya?

Tempelak Karpal Singh membayangkan pendirian DAP yang tidak berubah dan dalam Buku Jingga pun memang tidak terdapat catatan mengenai Negara Islam apa lagi hukum hudud.

Tempelak Karpal itu adalah bukti jelas bahawa dasar perjuangan DAP dengan Pas adalah berjurang. Pendekatan sosialis demokratik dengan hala tuju Negara Islam sangat jauh bezanya.

Sosialis demokratik secara umumnya mengukuhkan sistem sekular dan liberal. Sementera hala tuju Negara Islam orientasinya berlandaskan syariat.

Apa yang sedang berlaku di Malaysia hari ini di bawah UMNO dan Barisan Nasional, syariat Islam sedang berjalan dalam sistem kewangan, perundangan, ekonomi, ilmu pengetahuan dan pendidikan, industri halal, pembinaan institusi agama dan banyak lagi walaupun dalam bentuk yang gradual tetapi sistematis.

Sepatutnya tahalluf siasi (kerjasama politik) berlaku dengan pihak yang sedang melaksanakan syariah sekali gus mementingkan kebajikan rakyat berbanding dengan DAP yang menentang pelaksanaan syariat. Kalaulah terdapat kelemahan ia boleh diperbaiki dan diperkukuhkan lagi dengan banyak tenaga yang terbazir akibat dendam politik dan rasa perseteruan yang tinggi.

Nasruddin dalam debat itu memberikan skop Negara Berkebajikan yang dianggap teras kepada Negara Islam. Skop yang diberi tidak begitu jelas kerana konsep Negara Berkebajikan berlaku di Singapura, Sweden, United Kingdom, Australia dan lain-lain.

Orientasi Negara Berkebajikan di negara- negara yang berkenaan masih dalam orientasi sekular dan humanis. Orientasi Islam berasaskan syariat di mana perubahan sosial berlaku atas landasan tersebut.

Pelaksanaan hak asasi manusia umpamanya tidak berasaskan rujukan Barat tetapi dalam Islam ia merujuk kepada sumber al-Quran dan Sirah Nabawiah.

Kalau namanya Negara Berkebajikan, Malaysia sudah lama mengamalkannya. Apakah dengan menyediakan kemudahan pendidikan, kesihatan, prasarana, bantuan kepada petani, nelayan dan buruh, meraikan golongan miskin dan dhaif, mengukuhkan institusi zakat dan wakaf tidak dianggap menjadi sebahagian daripada keperluan sebuah negara berkebajikan.

Pas pada hemat penulis harus terbuka untuk menerima kenyataan yang baik itu baik dan yang tidak baik itu adalah tidak baik kerana sebagai sebuah organisasi kendalian manusia ia tidak boleh mengelak daripada melakukan kesilapan dan kelemahan. Malah mengakui baik itu baik dan tidak baik itu tidak baik adalah ajaran Islam.

Pas ialah parti yang cuba memperjuangkan Islam tetapi bukanlah Islam itu sendiri. Islam adalah agama yang sempurna sedangkan Pas tidak. UMNO tidak menjadikan perjuangan Negara Islam sebagai slogannya tetapi banyak program Islam dan Islamisasi sedang berjalan tanpa heboh-heboh dan membuat dakwaan.

Tempelak Karpal Singh harus dijadikan sempadan kepada Pas, ke mana sebenarnya hala tuju perjuangan parti ini. Pas harus bijak membaca senario politik masa depan umat Islam.

Secara teorinya strategi pakatan pembangkang mempunyai asas menyebabkan Pas memenangi lebih kerusi kerana undi Melayu pecah dan undi bukan Melayu bertambah. Pas tidak boleh kata semua kerusi UMNO akan dikuasainya dan bakal menggantikan UMNO. Ia adalah mimpi di siang hari.

Tetapi yang Pas harus fikir ialah betapa nasib umat Melayu nantinya dalam politik Malaysia sekiranya kuasa Melayu pecah dan umat Melayu tidak lagi menjadi faktor pengimbang terhadap kuasa politik di Malaysia.

Janganlah Pas terlalu optimistik gandingannya dengan DAP boleh menawan Putrajaya. Selepas PRU-12 orang Melayu semakin celik dan tahu. Dan tidak semua orang bukan Melayu akan mengundi pembangkang.

Kalau PRU -13 diadakan esok atau lusa pengamatan penulis BN akan menang dan kalau sungguh-sungguh merancang dengan calon yang berwibawa tidak mustahil BN boleh menang dua pertiga.

0 comments:

share2