Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 26, 2012

Ulama Dan UMNO Berpisah Tiada


Ada orang mengatakan UMNO bukan tempat orang agama untuk menegakkan idealisme perjuangan seorang ulama, sebaliknya ia hanya parti untuk mencari makan dan ikut telunjuk pemimpin UMNO.

Ada juga mengatakan, golongan agama dalam UMNO hanya melukut di tepi gantang sahaja.

Namun hakikatnya, UMNO adalah parti yang memperjuangkan Islam dan majoriti ahlinya beragama Islam. Malah, pandangan alim ulama serta cendekiawan Islam, termasuk anggota Majlis Fatwa Kebangsaan dan negeri- negeri dihormati oleh pemimpin UMNO pusat dan negeri.

Dengan meletakkan Raja-Raja Melayu sebagai 'pelindung agama Islam' membuktikan UMNO bukan parti yang 'ikut selera' dan 'main terjah' dalam mengendali, mengurus dan mentadbir agama Islam tetapi melakukannya dengan sopan dan berhemah.

Agama Islam dijaga, dihayati dan diperkembangkan oleh UMNO melalui pelbagai cara iaitu perlembagaan, dasar serta program- program termasuk institusi seperti Bank Islam, takaful, zakat dan sebagainya termasuk Dasar Penerapan Islam serta dasar luar yang tegas dan berani mengenai perjuangan dan nasib umat Islam sejagat.

Jadi sebagai parti yang memperjuang dan mempertahankan Islam sejak sebelum merdeka, adalah wajar sekali UMNO mempunyai sebuah organisasi sendiri yang terdiri daripada kalangan tokoh dan cendekiawan Islam yang berperanan memberikan input, menasihat dan dalam masa yang sama membantu UMNO memerangi perbuatan yang menggugat perjuangan UMNO dalam menegakkan syiar Islam di negara ini.

Islam yang diperjuang dan dipertahankan oleh UMNO tidak pernah menakutkan anggota parti lain yang menjadi komponen Barisan Nasional (BN).

Pada ketika ada pihak dalam BN sendiri mempertikaikan perjuangan UMNO menegakkan negara Islam, mereka akhirnya faham bahawa hakikatnya Islam yang diperjuangkan oleh UMNO adalah Islam lengkap yang memberikan perlindungan sewajarnya kepada bukan Islam.

Malah, Islam yang diperjuangkan oleh UMNO tidak pernah bertolak ansur, malah istiqamah, tegas serta tidak berubah-ubah mengikut keperluan parti dan pemimpin seperti pihak-pihak yang menggunakan Islam untuk tujuan sokongan politik dan pilihan raya.

Pejuangan dan usaha menegakkan syiar Islam bagi UMNO adalah sesuatu yang konsisten sejak mencapai merdeka dengan berasaskan Perlembagaan Malaysia, khususnya melalui Perkara 152.

UMNO tidak berhasrat untuk berundur walau seinci atau selangkah pun dalam meneruskan perjuangan Islam.

Amatlah baik sekiranya UMNO mempunyai sebuah badan ulama sendiri kerana dengan mengumpulkan ulama dan cendekiawan melalui majlis ulama UMNO, parti itu tidak mungkin tergelincir atau hanyut oleh tekanan dan cabaran baru politik yang kadang kalanya Islam disamakan dengan gerakan menuntut kuasa atau meraih sokongan semata-mata.

Kita masih ingat bagaimana dalam UMNO sebelum ini ramai yang mendapat pendidikan tinggi dalam agama seperti Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman dan Tan Sri Dr. Mohd Yusuf Nor yang mendapat tempat yang baik dalam UMNO.

Kemasukan Datuk Nakhaei Haji Ahmad bekas Ahli Majlis Syura Pas turut memberikan kesan kepada perjuangan UMNO.

Jangan pedulikan dengan bicara pemimpin Pas kononnya UMNO menolak ulama yang menyebabkan mereka lari daripada UMNO dan tertubuhnya Pas pada tahun 1951. Ada banyak sebab lain kenapa mereka tubuhkan Pas yang boleh diperbahaskan panjang lebar!

Yang pasti pada ketika pemimpin Pas menuduh UMNO sebagai parti yang 'memperkecilkan peranan ulama', beberapa pemimpin pusat UMNO menyokong penubuhan Majlis Ulama ini, antaranya Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Malah, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, beliau bersetuju usul ini dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang akan datang.

Yang penting sekarang bukan bentuknya sama ada sebuah unit, dewan, sekretariat, majlis atau juga mungkin sayap kerana "jika semua setuju, barulah memikirkan bentuk struktur dan organisasinya." Ini sebaik-baik jalannya.

Kita mengharapkan jangan ada perdebatan mengenai struktur atau organisasinya tetapi kumpulkan dahulu ulama dalam UMNO, khususnya ulama muda dan selepas itu fikirkan mengenai organisasi untuk mereka.

Yang penting anggota majlis itu nanti mestilah terdiri daripada kalangan yang diakui dan memang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai Islam dan berpengetahuan luas.

Kita tidak mahu ada perdebatan mengenai struktur kerana ia tidak akan berkesudahan.

Ini kerana kalau menjadikan kumpulan ini sebagai sayap ia akan menjadi seperti sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang mana selain mempunyai keanggotaan di semua peringkat majlis kerja tertinggi, bahagian dan cawangan, perlantikan mereka mesti melalui proses pemilihan dan kempen yang sama.

Kumpulan ulama tidak perlu terbabit dalam politiking di pelbagai peringkat kerana akan mendatangkan kesan tidak baik apatah lagi ia melibatkan agama.

Cawangan dan bahagian mungkin boleh mencadangkan siapakah ulama yang layak di ketengahkan dan sewajarnya perlantikan mereka diluluskan oleh Majlis Tertinggi UMNO dan sebarang rujukan hendaklah dibuat melalui badan ini.

Yang penting Majlis Tertinggi UMNO memberikan pengiktirafan, peranan serta peluang untuk ahli badan ulama ini bertanding pilihan raya jika memikirkan ada tokoh ulama yang perlu di ketengahkan.

Peranan mereka kelak bukan sekadar dalam parti tetapi turut boleh memainkan peranan di Parlimen, khususnya Dewan Rakyat untuk membuktikan UMNO parti Islam yang 'lebih baik' daripada Pas.

Malah dengan adanya ulama UMNO menjadi Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, mereka mampu berfungsi dengan lebih berkesan dan bersaing dengan Ahli Parlimen pembangkang yang menganggap mereka adalah pemimpin Islam 'sebenar' selain menghalang Islam dimanipulasi sewenang-wenangnya.

Kita perlu menilai dengan penuh kesedaran dan teliti cadangan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari yang mahu majlis ulama UMNO diwujudkan semula.

Cadangan ini sudah diusulkan sejak dua tahun lalu dan ramai pemimpin UMNO melihat jika ada kalangan ulama di dalam UMNO akan menguntungkan parti.

Sesuatu perlu dilakukan segera untuk penubuhan satu organisasi bagi ulama dalam UMNO yang akan membolehkan semua pemimpin UMNO merujuk dasar dan keputusan-keputusan agar tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Kita mengharapkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan Majlis Tertinggi UMNO melihat ini sebagai sebahagian daripada reformasi politik dan pentadbiran di bawah kepimpinan Najib yang berani 'menyelongkar' apa sahaja dasar untuk kebaikan rakyat dan menegakkan syiar Islam di negara ini.

0 comments:

share2