Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 23, 2012

Protage Fesyen


SEBAIK saja memasuki ruang butik Old Blossom Store Box, di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, kelihatan Nurul Diyana Zainul Ihsan dan Balqeis Mohd. Radzi sedang asyik mendengar penerangan daripada Jezmine Zaidan, pemilik butik tersebut.

Sesekali mereka berdua melihat pakaian yang membaluti patung model dan menyelak buku rujukan. Sekiranya tidak memahami tentang sesuatu perkara itu, mereka pantas bertanya kepada Jezmine untuk keterangan lanjut.

Kemudian, Jezmine membawa mereka ke sudut jahitan yang terletak di bahagian belakang butik untuk mendedahkan proses jahitan.

"Kami perlu menumpukan perhatian dan mempraktikkan ilmu yang diajar oleh Jezmine. Dalam tempoh dua bulan ini, saya berusaha melakukan yang terbaik dan tak boleh ambil sikap sambil lewa bagi mengelakkan rekod buruk. Lagipun saya wajar menjaga nama baik universiti," jelas Nurul Diyana, yang mesra disapa Diyana kepada Stailo.

Diyana yang merupakan pelajar jurusan fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, sedang menjalani latihan praktikal di butik tersebut.

Sambil menjahit selendang, anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu menyifatkan latihan amali antara platform yang terbaik baginya memperbaiki dan memantapkan kemahiran diri. Di sini, dia diajar selok-belok rekaan dan proses jahitan pakaian yang ideal serta mengikut trend semasa.

"Menariknya, saya turut berpeluang mempelajari pengurusan perniagaan sesebuah butik. Saya kagum melihat kesungguhan Jezmine yang sentiasa memikirkan konsep pakaian terbaharu bagi menarik minat pelanggan.


"Dia selalu memberi nasihat supaya kami menjadi pereka fesyen yang kreatif dan tampil dengan idea-idea baharu. Sebelum membuka butik pastikan kita mencari konsep yang lain daripada lain. Selain itu, kami turut didedahkan cara melayan pelanggan, strategi pemasaran dan tabah berpanas hujan berniaga di bazar sebagai salah satu corak mempromosikan jenama," kata Diyana yang berasal dari Ipoh, Perak.

Meningkatkan kemahiran menjahit

Dalam pada itu, Balqeis 23, memberitahu, pada peringkat awal dia berdebar untuk menjalani latihan praktikal di butik Old Blossom Store Box. Dia bimbang ilmu yang dipelajari di dalam kelas belum mencukupi dan menepati kriteria majikannya, Jezmine.

Namun dengan sokongan keluarga dan pensyarah, Balqeis berazam untuk melakukan yang terbaik sepanjang tempoh latihan praktikal. Akhirnya, anak kelahiran Baling, Kedah itu dapat menarik lepas lega. Kegusaran yang bersarang dalam hatinya beransur sedikit demi sedikit kerana sikap Jezmine yang prihatin dan tidak lokek berkongsi ilmu.

"Saban hari ada saja ilmu baharu daripada Jezmine. Kadangkala teknik jahitan yang sebelum ini dirasakan sukar untuk dilakukan, rupa-rupa ada jalan pintas mempercepatkan proses. Antaranya, proses memotong dan menjahit bahagian lengan, kolar baju dan poket.

"Bayangkan walaupun baru dua minggu menjalani latihan praktikal, saya sudah berasa seronok menjahit dan mereka pakaian. Lagipun majikan saya, turut memberi kebebasan kepada kami berkarya, asalkan bersesuaian dengan koleksi pakaian jenamanya yang berkonsepkan vintaj," jelas Balqies yang meminati bidang fesyen sejak berusia 13 tahun.

Jelas anak kedua daripada enam orang adik-beradik itu, pekerjaan ibunya sebagai tukang jahit di kampung telah mendorongnya untuk mendalami bidang fesyen pada peringkat yang lebih tinggi. Secara tidak langsung, ilmu yang dikutip daripada pensyarah dan beberapa pereka fesyen tempatan dipanjangkan pula kepada ibunya.

"Dahulu, ibu hanya menerima tempahan baju kurung tetapi kini sebaliknya. Saya menggalakkan ibu supaya berani bereksperimen menghasilkan baju kurung moden, lengan tangan gelembung dan kain duyung. Tak sangka konsep sedemikian mendapat sambutan daripada pelanggan tetapnya," luah Balqies yang pertama kali menjahit sepasang baju kurung ketika berusia 17 tahun.


Menurut pemilik butik Old Blossom Store Box, Jezmine Zaidan, 28, setakat ini dia sudah bekerjasama dengan empat orang pelatih praktikal. Tiga daripada mereka merupakan penuntut UiTM manakala seorang lagi dari Universiti Limkokwing, Cyberjaya, Selangor.

"Boleh dikatakan setiap tahun ada saja permohonan penuntut untuk menjalani latihan praktikal di sini. Saya menerima kehadiran mereka kerana ingin berkongsi ilmu yang ada.

"Saya melayan pelatih seperti sahabat bagi mengelakkan rasa kurang selesa sesama kami. Syukur kerana mereka memberi kerjasama yang baik," jelas Jezmine yang pernah menghasilkan busana buat selebriti tempatan seperti Intan Ladyana dan Shila Amzah.

Belajar daripada sifu

Berbicara bersama pereka fesyen yang semakin meningkat naik, Hazree Wahid, 30, dia menyifatkan sesi latihan praktikal amat penting dalam kalangan penuntut rekaan fesyen.

Namun malangnya, tidak semua pelajar menganggap sesi latihan amali itu penting sebaliknya bagaikan terpaksa melakukannya kerana ingin melengkapkan syarat kelulusan pengajian.

"Saya bercakap berdasarkan pengalaman peribadi sewaktu menuntut di International Fashion Training Centre (IFTC), Kuala Lumpur dalam jurusan rekaan fesyen. Didapati segelintir pelajar mengambil sikap sambil lewa ketika melakukan latihan amali.

"Mereka kurang bereksperimen dan tidak mengambil kesempatan menggali lebih banyak ilmu. Situasi ini merugikan pelajar kerana hakikatnya bukan senang untuk mendampingi sifu profesional," jelas Hazree yang bersyukur apabila diterima untuk melakukan praktikal di butik Annie Wong Couture pada tahun 2003.

Annie Wong merupakan pengetua IFTC dan perintis pereka fesyen gaun mewah tempatan sekitar tahun 1970-an. Memiliki bakat dan kreativiti yang menakjubkan dalam bidang fesyen telah mendorong Annie untuk berkongsi ilmu bersama individu yang berminat dalam dunia fesyen.

Ekoran daripada itu, maka wujudlah IFTC pada tahun 1975 yang berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor sebelum berpindah ke Bangunan Yayasan Selangor, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

"Jika dihitung saya berkhidmat dengan Annie Wong, hampir setahun. Ini disebabkan saya bukan saja menjalani latihan praktikal, malah turut berkerja separuh masa di sana sehingga tamat pengajian di IFTC.

"Majikan menitikberatkan potongan kain dan ukuran badan pelanggan. Dia ingin memastikan pelanggan kelihatan menawan dan selesa ketika menyarungkan busana rekaannya," terang Hazree yang pernah terlibat dalam pertunjukan fesyen di Minggu Fesyen Karachi 2010, India dan Minggu Fesyen Paris 2011.

0 comments:

share2