Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 23, 2012

Belacan Mampu Menjana Pendapatan Lumayan


RAMAI orang beranggapan bahawa industri desa tidak mampu memberi pulangan yang lumayan. Atas persepsi itu, tidak ramai yang berani menceburi industri tersebut yang dikategorikan dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Bagaimanapun, menerusi usaha kerajaan, semakin ramai pihak terutama golongan muda mula menceburi industri yang sebelum ini dianggap 'kampungan' itu.

Antara yang yakin betapa industri desa itu mampu memberi pulangan yang lumayan ialah Sudin Bakar, 48, seorang pengusaha belacan yang berasal dari Alor Ibus, Kuala Kedah.

Industri belacan yang diusahakan kini banyak mengubah kehidupannya berbanding sewaktu bekerja makan gaji dulu.

Sudin melibatkan diri dalam pembuatan belacan selama 12 tahun iaitu sejak tahun 2000 dengan menggunakan jenama Rodiah sebelum menukarnya kepada Sinar.

Sebelum menceburi bidang pembuatan belacan, Sudin pernah bekerja sebagai pemandu lori sejak tahun 1987 sebelum berhenti untuk mencuba nasib dalam bidang perniagaan.

Pendapatannya sebagai pemandu lori sebelum ini hanyalah RM1,200 sebulan dan itu tidak banyak membantu menampung kehidupan hariannya yang mempunyai lapan orang anak.

Namun, berkat usaha dan kesabaran, Sudin kini mampu meraih pendapatan sehingga RM5,000 sebulan dan dengan hasil itulah dia mengubah suai rumah pusaka yang didiami keluarganya di Alor Ibus.

Bantuan modal

Sudin memulakan perusahaan belacan selepas dapat mengumpul modal hasil wang simpanan selain pinjaman daripada institusi kewangan sebanyak RM21,000, serta bantuan daripada pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebanyak RM10,000.

Hasil bantuan modal yang diperoleh daripada LKIM itu, dia mampu membeli mesin dan peralatan untuk memproses belacan.

Walaupun sesetengah orang tidak selesa bekerja dalam persekitaran memproses belacan lantaran diselubungi bau yang kurang menyenangkan, namun bagi Sudin, belacan adalah sumber rezeki yang boleh mendatangkan keuntungan dan berpotensi untuk dimajukan.

Katanya, belacan sebenarnya boleh dikomersialkan kerana belacan telah menjadi sebahagian daripada keperluan utama dalam bahan masakan masyarakat Melayu.

Setiap hari, Sudin yang dibantu oleh isterinya, Rodiah Hashim, 48, dan anak-anak mereka menghasilkan kira-kira 150 ketul belacan.

Penghasilan belacan mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan dan keadaan cuaca memainkan peranan penting dalam aspek produktiviti. Sekiranya cuaca kurang elok, mereka tidak akan menghasilkan belacan kerana sukar untuk mengeringkannya.

Proses pengeringan belacan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat jam. Belacan yang dihasilkan kemudiannya diedarkan di pasar-pasar borong sekitar Kedah.

Seketul belacan keluaran keluarga Sudin yang bersaiz besar dijual pada harga RM3 manakala bagi saiz kecil berharga RM1. Selain memasarkannya di pasar borong, belacan juga mendapat permintaan yang meluas dari negeri lain seperti Perlis dan Kuala Lumpur. Pemborong turut mendapatkan belacan daripada Sudin kerana kualiti dan rasanya yang sedap.

Kos penghantaran

Menurut Sudin, sebelum ini memang dia berhasrat untuk memasarkan sendiri belacan buatannya ini tetapi oleh kerana kos penghantaran yang agak mahal, dia merasakan bahawa cara itu tidak berbaloi dengan kos jualan yang diperolehnya.

"Saya ada dapat tempahan sehingga ke Sabah dan Sarawak tetapi terpaksa menolaknya kerana kos penghantaran yang tinggi," jelasnya.

Bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan belacan ialah udang geragau yang diperoleh daripada nelayan di Kedah dan Perak. Setiap dua kali sebulan Sudin akan memesan lima tan udang geragau daripada pemborong dan udang yang diperoleh mestilah masih segar.

Rodiah pula berkata, bekalan udang segar tidak pernah putus dan kerana itulah belacan yang sedap dapat dihasilkan.

"Dua kali sebulan saya akan menghubungi pemborong untuk mendapatkan bekalan udang bagi memastikan bekalan udang segar tidak terputus," katanya. - Bernama

0 comments:

share2