Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 9, 2012

Myanmar Bakal Berdepan Penjajahan Amerika Syarikat


WALAUPUN parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) memenangi 40 dari 45 kerusi pilihan raya kecil Myanmar sekaligus memberi peluang kepada pejuang demokrasi Aung San Suu Kyi memenangi kerusi Parlimen, makna demokrasi sebenar Myanmar masih jauh. Kemenangan NLD kali ini belum muktamad kerana pemimpin junta masih menguasai "kerajaan baru" Myanmar.

Sebenarnya konflik politik yang menyelubungi Myanmar sangat rumit. Ia bukan antara junta yang dipimpin oleh Jeneral Than Shwe dan Aung San Suu Kyi, malah melibatkan pemain-pemain antarabangsa. Myanmar menjadi papan catur kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), China, Rusia dan India kerana masing-masing ada kepentingan di negara itu.

Dalam konflik politik Myanmar, campur tangan AS sangat jelas apabila melakukan sekatan ekonomi terhadap kerajaan junta tentera. Ironinya selepas kemenangan NLD, AS dengan mudah membuka sekatan itu. Aung San Suu Kyi kini menjadi buah catur AS dan China dalam konflik politik Myanmar.

Dalam gambaran yang lebih besar, Myanmar adalah pertembungan kuasa-kuasa besar. Masing-masing mempunyai kepentingan politik yang melampaui kepentingan demokrasi bagi rakyat. Myanmar mempunyai hubungan diplomatik yang kukuh dengan China dan terjalin lebih 20 tahun lalu. China mempunyai kepentingan perdagangan dengan Myanmar terutama perjanjian penjualan senjata kepada kerajaan junta. Nilainya berbilion dolar.

Walaupun China dan Rusia yang menjadi kuasa utama dalam Majlis Keselamatan PBB merestui sekatan atas Myanmar sebelum ini, AS tetap berhati-hati untuk tidak mencetuskan pergeseran dengan China yang kini menjadi kuasa ekonomi utama.

Myanmar menyertai ASEAN pada 1997 dengan harapan ASEAN mampu memberi tekanan kepada junta untuk mengadakan pilihan raya yang demokratik. Tetapi sebenarnya faktor lain yang mendorong junta membebaskan Aung San Suu Kyi seterusnya membenarkan bertanding dalam pilihan raya kali ini adalah liberalisasi politik di negara-negara jiran di Asia Tenggara. Liberalisasi politik di Indonesia, Filipina termasuk Thailand menjadi pendesak pendemokrasian politik Myanmar.

Sebelum ini dasar luar AS di Myanmar menghadapi jalan mati. Sejak September 1988 negara itu jatuh ke tangan junta tentera yang korup. Selepas merampas kuasa, junta menamakan mereka sebagai State Law and Order Restoration Council (SLORC). Untuk mematahkan gerakan menuntut demokrasi, SLORC mengenakan hukuman tahanan dalam rumah terhadap Aung San Suu Kyi dan memusnahkan lebih 1,000 kampung etnik Karen dan Shan. Bagaimanapun pada pertengahan 1990-an, kesan gerakan demokrasi pasca Perang Dingin dan runtuhnya negara-negara blok komunis serta tekanan antarabangsa, SLORC membebaskan Aung San Suu Kyi.

Ini membuktikan konflik politik Myanmar adalah disebabkan oleh rentetan politik antarabangsa. Contohnya, sebaik sahaja pembangkang menang pilihan raya kali ini, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton berkata, AS akan mengurangkan sekatan dalam pelaburan dan kewangan untuk menyokong pembaharuan di negara itu. Antaranya ialah membenarkan penggunaan kad kredit MasterCard, Visa dan American Express di Myanmar.

Pada masa yang sama juga Agensi Pembangunan Antarabangsa AS akan menyalurkan bantuan tahunannya bernilai AS$35 juta (RM107 juta), manakala organisasi swasta AS pula dibenarkan mengendalikan projek berskala besar di negara itu, termasuk pendidikan dan kesihatan.

Dalam bahasa yang mudah AS mulai memasuki Myanmar setelah menyalurkan bantuan pembangunan. Jadi, apalah ertinya demokrasi yang diperjuangkan di Myanmar kalau akhirnya ada kuasa lain yang menjajah secara terhormat dan mengikis kekayaan negara itu? Sebenarnya AS menyokong perjuangan Aung San Suu Kyi bukan kerana menyokong demokrasi tetapi disebabkan junta mempunyai hubungan diplomatik dengan China dengan nilai pembelian senjata sahaja berjumlah berbilion dolar.

Dalam erti kata lain, pilihan raya ini memberi kemenangan kepada AS kerana berjaya menggugat kedudukan parti kerajaan yang dikuasai oleh junta tentera. Sementara China buat masa ini kelihatan mengalami kekalahan apabila campur tangan AS boleh menyusup masuk dalam pentadbiran Myanmar. Keadaan ini dijangka mencetuskan ketegangan antara AS dan China sekalipun dalam banyak perkara lain AS cuba berbaik-baik dengan China kerana kuasa tentera dan ekonominya.

Apa yang berlaku di Myanmar tidak jauh bezanya di negara-negara yang menerima campur tangan AS sebelum ini terutama di dunia Arab. Sekiranya suatu hari nanti Aung San Suu Kyi berkuasa di Myanmar, demokrasi yang sebenarnya masih kabur. Ini kerana yang berada di belakang Aung San Suu Kyi adalah tangan-tangan ghaib daripada AS. Demokrasi harus difahami bukan sahaja perjalanan sistem pilihan raya tetapi mesti juga berlaku pendemokrasian sosial dan politik. Inilah yang selalunya sukar atau tidak akan dilakukan kerana rakyat hanya difahamkan bahawa demokrasi itu adalah pilihan raya.

0 comments:

share2