Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 9, 2012

Kepentingan Transformasi Untuk Negara


Bagaimana Datuk melihat pengumuman Perdana Menteri mengenai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) baru-baru ini?

NOOR AZLAN: Dalam soal ini saya perlu memberi kredit kepada Perdana Menteri dan saya melihat perkara ini dari sudut kepimpinan transformasi ekonomi. Transformasi ini bukanlah sesuatu yang mudah dan kebanyakan orang memerlukan masa yang panjang untuk melakukannya. Namun beliau membuktikan kepintaran kepimpinannya dengan melakukan banyak transformasi dalam hanya tiga tahun. Saya ingin berkongsi kenapa transformasi ini perlu dilakukan di negara kita. Kita perlu faham setiap negara mempunyai evolusinya tersendiri dalam memperkatakan tentang pembangunan. Kita sekarang terperangkap dalam masalah yang dipanggil upper middle income trap.

Ini yang berlaku di negara ini kerana kita sudah melepasi peringkat negara berpendapatan rendah tetapi terperangkap di peringkat yang saya nyatakan tadi. Apabila kita sampai ke peringkat menengah, nampaknya momentum tersebut hilang. Kita masih terperangkap dengan polisi lama yang mungkin sudah tidak berapa sesuai. Jika ia pernah membawa kejayaan kepada kita dahulu namun tidak bermakna ia boleh berjaya sekarang. Saya bagi contoh mengenai subsidi, jika dahulu ketika ramai rakyat kita yang miskin sudah tentu subsidi adalah satu kemestian tetapi dalam keadaan sekarang subsidi hanya perlu diberikan kepada kumpulan sasar iaitu yang benar-benar memerlukan sahaja. Jika kita teruskan maka ia adalah sesuatu yang merugikan dan memberi beban kepada kerajaan.

Sekarang negara ini sudah semakin maju tetapi apakah rakyat sudah bersedia untuk transformasi ini?

NOOR AZLAN: Kita perlu faham apabila negara semakin maju maka struktur ekonomi juga turut berubah. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada struktur lama kerana pada masa yang sama cabaran global juga perlu diambil kira. Ini perlu saya tekankan kerana persaingan antara negara sudah semakin mencabar. Saya bagi contoh pada tahun 1980-an, pelaburan asing yang masuk ke negara negara-negara Asia Tenggara, kita antara yang tertinggi sekitar 34 peratus berbanding negara seperti Vietnam yang hampir tiada langsung.

Tetapi jika dibandingkan dengan sekarang walaupun jumlah semakin meningkat tetapi peratusan pelaburan asing yang masuk ke negara ini dan Vietnam adalah hampir sama. Oleh itu kita perlu faham walaupun jumlah pelaburan sudah semakin meningkat tetapi daya saing kita sudah semakin menurun dengan kemunculan negara-negara baru. Apatah lagi dengan kemajuan teknologi serta struktur ekonomi yang semakin baik sudah tentu semua negara akan bersaing untuk merebut peluang yang satu ketika didominasi oleh negara kita.

Apa yang perlu dilakukan bagi mengekalkan daya saing?

NOOR AZLAN: Kita perlu merubah paksi yang menjadi kekuatan ekonomi kita. Jika dahulu kita mempunyai sumber hasil bumi yang banyak seperti bijih timah dan kemudian getah dan sekarang kelapa sawit yang menjadi kekuatan ekonomi kita. Kemudian kita menukar kekuatan ekonomi kepada sektor perkilangan dan pembuatan. Namun hari ini apa yang perlu kita pertingkatkan adalah daya pengetahuan dan daya inovasi serta kreativiti yang perlu menjadi kekuatan. Sekarang cita rasa masyarakat dunia sudah semakin berubah apatah lagi dengan pendapatan yang semakin meningkat maka kita perlu satu formula atau strategi baru untuk meningkatkan daya saing.

Mungkin Datuk ada melihat beberapa strategi baru yang mungkin boleh membantu mengembangkan ekonomi kita?

NOOR AZLAN: Satu peralihan besar yang perlu dilakukan adalah bagaimana kita boleh meningkatkan intensiti pengetahuan serta daya inovasi kita dalam semua aktiviti ekonomi kita. Jika dahulu sebagai contoh sesebuah kilang kasut memerlukan buruh yang menggunakan tangan dan kaki mereka dalam memasang produk mereka. Tetapi orang yang mereka bentuk kasut berkenaan tidak berada di sini tetapi di negara maju seperti Eropah, Amerika Syarikat dan sebagainya. Mereka dilengkapi kemudahan teknologi terkini seperti makmal dan sebagainya. Ini yang perlu kita tingkatkan supaya negara kita mempunyai teknologi serta kepakaran untuk mencipta atau mereka bentuk sesuatu ciptaan baru. Kita juga perlu mengikut kehendak dan kemahuan masyarakat dunia yang semakin berkembang supaya kita tidak jauh ketinggalan. Dalam era sekarang kita bukan sahaja bergantung kepada pelaburan asing tetapi perlu perlu tahu pelaburan yang bagaimana mahu masuk ke negara ini serta pekerjaan yang bagaimana untuk penduduk negara ini. Untuk menjadikan negara kita kompetitif di peringkat global, soalan-soalan daya saing mikro perlu diberi perhatian yang lebih jelas.

Pada pandangan Datuk, mampukah transformasi yang dirancang ini berjaya dicapai sebelum tahun 2020?

NOOR AZLAN: Transformasi yang diumumkan oleh Perdana Menteri ini adalah untuk semua golongan masyarakat dan bukan hanya untuk mereka yang berpendidikan tinggi sahaja. Semua aktiviti ekonomi di negara ini perlu turut serta dalam proses transformasi. Namun yang paling penting bagi saya ialah bagaimana persediaan rakyat negara ini terhadap transformasi yang sedang dan akan dijalankan. Jika kita mendapat peluang tetapi kita pula tidak bersedia sudah tentu akhirnya kita akan hanya mensia-siakan peluang tersebut. Kita perlu mengubah bentuk pemikiran kita kearah yang lebih baik. Walaupun usaha untuk mengubah pemikiran masyarakat ini sekarang masih belum mencukupi namun masih ada ruang untuk ia terus diperbaiki. Kita tidak mahu mendengar apa yang kerajaan patut buat kerana ia adalah satu bentuk pemikiran yang ke belakang seperti mana sesebuah negara yang masih dalam kemiskinan dan rakyatnya mengharapkan kerajaan memainkan peranan dalam memberi apa yang dimahukan rakyat.

Sebagai contoh kerancakan ekonomi sesebuah negara itu berlaku apabila kerajaan berbelanja seperti membina sekolah dan sebagainya. Kini kita perlu bersedia kearah sebuah kerajaan yang hanya fasilitate ekonomi contohnya sampai masanya kerajaan sudah tidak perlu membina sekolah kerana ia sudah mencukupi atau hotel-hotel tidak terlalu berharap kepada kerajaan untuk berbelanja. Ini yang perlu kita tekankan kerana jika tidak transformasi yang diharapkan oleh Perdana Menteri mungkin tidak berjaya. Ia juga adalah matlamat utama yang perlu dicapai jika kita benar-benar berazam mahu mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020.

1 comments:

  • Anonymous says:
    April 11, 2012 at 4:45 AM

    tak menarik dan susah nak faham,apa agenda yg nak di bawa dgn dasar tranformasi negara.Apa bentuk bentuk instrumen dan kekuatan yg ada,nak menyamai apa yg prof bentangkan tu,dgn negara2 maju sebagai contoh.Sekarang nie duk sebuk bawa pekerja asing,sembang apa nie...Cari ler idea lain..

share2