Lynas Hanya Permainan Politik DAP/PKR |
BADHRULHISHAM: Sebagai pakar kami melihat isu ini dari segi fakta sains namun pihak yang menentang isu ini hanya bercakap menggunakan emosi dan didorong faktor politik. Gambaran mereka seolah-olah kilang Lynas ini terlalu bahaya malah propaganda mereka adalah mengaitkan Lynas dengan kilang nuklear dan tragedi Chernobyl serta Fukushima. Walaupun tahu itu tak tepat, mereka tak kira yang penting adalah menakut-nakutkan orang ramai sehingga rakyat keliru. Macam perbahasan wakil pembangkang di Dewan Rakyat baru-baru ini, saya hadir dan lihat sendiri bagaimana isu ini diputar belit tanpa berlandaskan ilmu dan fakta. Saya percaya yang spin isu ini tahu mereka menyembunyikan fakta sebenar.
Namun bagi orang biasa, hujah yang diutarakan pihak ini agak menawan?
BADHRULHISHAM: Saya tak salahkan orang ramai malah saya gembira dengan kesedaran rakyat kepada keselamatan dan alam sekitar. Namun kepekaan ini tetap perlu berlandaskan fakta. Saya akui isu ini memang teknikal. Orang biasa bila sebut nuklear, radiasi atau radioaktif dia jadi fobia. Sebab itu yang bercakap isu ini perlu bertanggungjawab iaitu bercakap menggunakan fakta. Kalau oksigen sendiri, walaupun ia diperlukan tubuh badan kita tetapi kalau terlebih tetap bahaya. Bukannya asal radiasi sahaja kita kata bahaya. Krew penerbangan terdedah kepada radiasi sebanyak sembilan milisivert (mSv) setahun.
Sebab itu banyak perkara yang ada radiasi tetapi kita ambil manfaatnya dengan memastikan ia berada pada kadar selamat. Sebelum ini pun kita didedahkan fakta bahawa dedahan radiasi akibat operasi kilang Lynas pada orang awam adalah pada kadar 0.002 milisivert (mSv) sedangkan dedahan radiasi menonton televisyen selama empat jam sehari selama setahun adalah 0.02 mSv. Di Malaysia dan antarabangsa menetapkan dedahan radiasi tidak melebihi 1.0 mSv manakala pekerja sinaran tidak melebihi 20 mSv.
Bagaimana dengan perbandingan Lynas dan kilang Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah yang sering ditonjolkan?
BADHRULHISHAM: Ia bukan perbandingan tepat kerana bahan mentah yang digunakan berbeza dari segi tahap radiasinya. Bahan mentah yang digunakan ARE jauh lebih tinggi kandungan radioaktif iaitu 37 kali ganda berbanding Lynas yang menggunakan bahan mentah dari Mount Weld, Austalia Barat. Bahan mentah ARE daripada sisa bijih perlombongan dan bijih timah kita memang tinggi kandungan radioaktif. Ia terdiri daripada mozit yang mengandungi thorium dan uranium yang tinggi.
Tapi apa yang dibawa Lynas dari Mount Weld, Austalia Barat, kandungan thorium adalah rendah. Itu yang sebabkan bila diproses akhirnya sisa daripada bahan mentah itu mengandungi radioaktif yang rendah. Kandungan radioaktif dalam sisa ARE Bukit Merah adalah 60 kali lebih tinggi dari Lynas. Sebab itu saya tegaskan Lynas adalah kilang kimia biasa, bukan loji nuklear. Kilang nuklear adalah kilang atau loji yang mengeluarkan tenaga nuklear daripada hasil tindak balas nuklear, tidak ada produk logam seperti kilang nadir bumi.
Jika ia hanyalah kilang kimia biasa kenapa antara agensi terlibat memantau Lynas ialah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB)?
BADHRULHISHAM: Isu ini juga sering dibangkitkan pihak yang menentang. Jawapannya adalah kerana bahan mentahnya mengandungi thorium, iaitu sejenis bahan radioaktif tetapi kadarnya rendah. Walaupun rendah, tetapi AELB perlu terlibat. Itu peraturan negara ini. Saya sendiri daripada industri sebelum ini, saya terlibat dalam proses mendirikan kilang kimia. Saya tahu syarat-syarat yang perlu dipatuhi. Jadi saya nak tegaskan yang peraturan dan undang-undang kita cukup ketat.
Bagaimana pula pematuhan Lynas kepada syarat yang dikenakan agensi kerajaan dalam isu ini?
BADHRULHISHAM: Saya nak tekankan laporan menunjukkan syarikat itu telah berjaya penuhi segala syarat yang dikenakan daripada peringkat tapak, pembinaan kilang hinggalah pra operasi dan operasi kelak. Tidak cukup dengan itu, kerajaan bawa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) buat kajian. Seperti kata IAEA, kilang Lynas ini telah melalui syarat-syarat ketat melebihi daripada sepatutnya kerana bagi IAEA, Lynas bukan sesuatu yang unik, banyak negara ada kilang ini.
Rumusan laporan IAEA juga merakamkan penghargaan kepada AELB dan agensi kerajaan lain kerana bertindak penuh profesional dalam memastikan kilang ini melepasi standard keselamatan radiasi antarabangsa. Malah IAEA juga merakamkan penghargaan kepada Lynas dalam pengurusan sisa pepejal kerana mahu hasilkan produk lain daripada sisa bahan mentah itu. Ini selari dengan Prinsip 7 (Perlindungan Generasi Kini dan Masa Depan) Standard IAEA. Laporan IAEA 20011 ini terdapat di laman web agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, semua boleh baca.
AELB atau IAEA sendiri sudah memperakui Lynas adalah selamat dan bagi Prof. apakah sebab utama penentangan ini yang ada disebut baru-baru ini didorong juga faktor persaingan ekonomi?
BADHRULHISHAM: Kemungkinan itu ada sebab persaingan memang wujud, tapi kita tak ada bukti nak tuduh pihak lakukan penentangan ini sebab nak sabotaj Lynas atau negara. Kita kena ingat, kalau dahulu Perang Dunia tercetus kerana berebut persaingan politik sekarang ia beralih kepada persaingan ekonomi. China sekarang ini mengeluarkan 97 peratus nadir bumi dan republik itu juga negara yang paling banyak rizab nadir bumi di dunia iaitu hampir 40 peratus. Lynas yang mendapat lesen operasi di sana enggan meneruskan pelaburan kerana China mahu mengawal pengeluaran dan ini boleh menjejaskan perniagaan mereka.
Namun saya bimbang di pihak pelabur akan mengambil berat bagaimana pembinaan kilang Lynas ini telah dijadikan isu. Hakikatnya IAEA mengesahkan ia mematuhi piawaian keselamatan. Apakah mereka juga risau perlu melalui pengalaman seperti Lynas yang terpaksa melakukan lebih daripada sepatutnya bagi membolehkan beroperasi di negara ini? Kita tak dapat tolak yang orang berniaga tentunya turut menilai semua aspek itu.
Apakah kepentingan nadir bumi ini kepada negara?
BADHRULHISHAM: Pada 1987 Deng Xioping pernah berkata, jika Timur Tengah mempunyai simpanan minyak yang banyak, China mempunyai logam nadir bumi. Ini terdapat pada laporan di negara itu. Kalau kita baca satu laporan di China yang disebut Laporan 863, pemimpin negara itu telah merancang bagaimana China boleh bersaing dengan negara Barat dalam sains dan teknologi dan akhirnya mereka mengenal pasti untuk mengeluarkan produk yang mempunyai logam unsur nadir bumi. Sebab itu apabila China ada pertikaian dengan Jepun baru-baru ini, mereka mengancam untuk menyekat eksport nadir bumi. Hakikatnya banyak teknologi hijau menggunakan nadir bumi seperti bateri kereta hibrid, lampu jimat tenaga, kincir angin untuk hasilkan tenaga elektrik, selain dalam pembuatan komputer, telefon pintar dan televisyen. Jadi nadir bumi sudah menjadi industri strategik. Daripada Lynas, dijangkakan banyak aktiviti perintis akan berlaku, konglomerat antarabangsa yang perlukan nadir bumi akan melabur di negara ini kerana bahan mentah yang diperlukan itu ada di Gebeng.
Maka yang saya bercakap sekarang bukan sebab nak pertahankan Lynas tetapi mahu menjaga kepentingan industri strategik kepada negara. Malah kajian telah dijalankan dan Malaysia juga mempunyai simpanan nadir bumi. Akademi Sains Malaysia (ASM) bersama Majlis Profesor Negara turut tubuh jawatankuasa bagi melihat perkara ini yang mana saya salah seorang anggotanya percaya kita harus pandang ke hadapan dalam bidang ini kerana potensinya. Laporan antarabangsa menunjukkan ada 35 projek untuk keluarkan unsur nadir bumi sedang diusahakan di seluruh dunia melibatkan 13 negara, jadi Malaysia juga harus mengorak langkah. Di China yang telah menceburi industri sejak 1986, mereka punya ramai pakar dan penyelidikan mereka diakui cukup hebat.
Dari sudut kepentingan ekonomi daripada kilang Lynas itu sendiri?
BADHRULHISHAM: Ada yang tanya apa Lynas boleh sumbangkan untuk ekonomi setempat jika pekerjanya hanya 350 orang. Sebenarnya kilang kimia tak perlukan kepada ramai pekerja seperti kilang elektronik tetapi ia mengkehendaki kepada banyak perkhidmatan sokongan lain. Ini melibatkan perniagaan kepada kontraktor sama ada sebelum pembinaan mahu pun selepas operasi yang pastinya di bawahnya ada ramai lagi pekerja. Semua itu libatkan berbilion ringgit dari segi pelaburan langsung asing oleh Lynas. Itu kepada ekonomi tempatan dan lebih jauh daripada itu, inilah peluang kita nak lahirkan tenaga mahir dalam industri strategik ini. Lynas dari Australia tetapi lebih 90 peratus tenaga kerjanya adalah rakyat tempatan kecuali beberapa orang pakar termasuk dari China. Dahulu 70-an dan 80-an di dalam industri minyak dan gas negara, kita bawa ramai tenaga mahir asing.
Tapi dalam tempoh itu kita dedahkan pekerja tempatan dengan kemahiran dan pengalaman daripada tenaga asing ini dan sekarang ini, pekerja Malaysia dalam industri minyak dan gas menjadi rebutan di seluruh dunia. Soal Gebeng tidak jauh dari kawasan kediaman juga tak timbul. Yang penting apa risiko yang ada, apakah ia mudah terbakar, jawabnya tidak kerana tekanannya rendah dan kadar radiasi bahan mentah Lynas juga amat rendah. Saya mengajar reka bentuk kilang dan pernah bekerja dalam pengurusan keselamatan dan persekitaran untuk sebuah kilang Amerika, saya tahu Gebeng adalah lokasi sesuai kerana kemudahan yang ada setelah syarat-syarat pihak berkuasa dipatuhi. Di China ada kilang yang jauh dari kediaman tetapi yang menentang ini tidak cerita ia disebabkan radiasi bahan mentahnya jauh lebih tinggi dari Lynas. Bahan mentah di setiap tempat tidak sama, radiasinya berbeza-beza. Inilah saya kata maklumat-maklumat yang sengaja disembunyikan.
0 comments:
Post a Comment