Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 17, 2011

Ultra Liberal Mencabar GMM


GAGASAN Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang diinisiatifkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tentulah tidak dimaksudkan hanya untuk memprojekkan kesederhanaan Islam tetapi itulah persepsi umum di dalam dan luar negara kerana Islam telah disekutukan dengan keganasan.

Berasaskan kepada ucapannya, Najib mahu memberikan gambaran yang sebaliknya untuk membersihkan persepsi negatif terhadap Islam yang digambarkan dengan laporan bias media Barat yang menguasai seluruh dunia menerusi apparatus multimedianya - yang hitam dapat diputihkan dan yang putih dikotorkan.

Pencerobohan ke atas negara asing dijustifikasikan sebagai misi pembebasan dan kemanusiaan dan tentera upahan sebagai wira.

Dalam keadaan ini kesungguhan Najib untuk memacu projek GMM ke peringkat gerakan antarabangsa di suatu persidangan anjuran Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pada Januari depan merupakan strategi berencana jangka panjang yang praktik.

Dengan melibatkan dukungan bersama agama lain seperti Kristian, Hindu, Yahudi dan ateis ke dalam gerakan ini, maka ia merupakan pendekatan cukup berhemah bagi keberkesanan usaha untuk menghapuskan sikap prejudis terhadap Islam dan membuka mata terhadap ekstremisme yang melampaui batas agama.

Malaysia adalah negara yang paling layak untuk menginisiatifkan gagasan ini kerana kesederhanaan menjadi identiti dasar sosio politik perjuangan dan pengisian kemerdekaannya dengan timbunan bukti sejarah mengenainya.

Kejayaannya yang paling terkini ialah menukarkan sikap dan dasar parti politik agama yang sekian lama berpegang kepada dogmatisme agama dan tindakan bersifat militan untuk mencapai matlamatnya. Sokongan terbuka salah seorang pemimpinnya terhadap perjuangan ganas PKM baru-baru ini menjadi bukti jelas di samping mencemarkan usaha gigih parti itu bagi menyesuaikan diri dengan keperluan politik semasa.

Mereka sekarang berada dalam suatu identiti krisis. Untuk membuat penyesuaian mereka telah sanggup mengorbankan prinsip-prinsip asal yang menggerunkan dan dalam pada itu cuba untuk meyakinkan penyokong-penyokong fanatik mereka dengan suara dan tindakan yang menampakkan seolah-olah mereka tidak berubah umpamanya menjaja kembali hukum hudud dan bantahan terhadap hiburan.

Bagaimanapun kepada yang cerdik, kecairan pegangan mereka terlihat jelas sampai kepada tahap keterlaluan malah ada kalanya lebih liberal dari liberal atau menjadi ultra liberal.

Proses ini berlaku secara natural menerusi proses kemajuan sosiopolitik Malaysia dan bukan dengan tekanan kerajaan, bukan dengan kerajaan mengharamkan parti mereka seperti yang pernah dituntut oleh rakyat tetapi mereka sendiri yang merasa perlu untuk mengharamkan suara dan tindakan mereka dalam penerimaan terhadap formula sosiopolitik yang dijuarai oleh parti pemerintah sejak sebelum dan sesudah merdeka.

Perubahan ini juga berlaku kerana anasir-anasir tersingkir atau disingkirkan dari pemerintah telah berjaya menyusup, menguasai dan mengetuai mereka dan membawa mereka kepada kesedaran baru.

Kerajaan Malaysia boleh meyakinkan dunia tentang kejayaannya menyederhanakan golongan ekstremis agama dan perkauman dengan cara Malaysia sendiri yang mengutamakan perang saraf dan penahanan untuk pembersihan minda dan sikap dari aliran berbahaya kepada keselamatan negara.

Kerajaan telah berjaya membangunkan budaya politik perimbangan dan kesederhanaan yang membenamkan ekstremisme agama dari arena politik Malaysia menerusi proses demokrasi. Yang tinggal hanya sandiwara politik untuk mengelirukan pandangan penyokong akar umbi yang bebal dan bodoh termasuk di universiti universiti tertentu.

Perubahan ini sangat besar. Tidak pernah terfikir bahawa sebuah parti Islam yang telah menggunakan fatwa mengkafirkan orang Islam sendiri boleh bekerjasama dengan parti sekular dan sedang dalam proses membuat perimbangan antara mereka untuk menghapuskan imej pelampau masing-masing.

Bagaimanapun apabila kemajuan politik mereka mencapai tahap toleransi terhadap gerakan memurtadkan orang Islam dan tidak dapat membaca yang tersirat dari Seksualiti Merdeka malah sanggup menerima kepimpinan dari orang yang diragukan moralnya maka ternyata mereka telah kehilangan haluan dan pegangan.

Mereka telah menjadi parti yang tidak berprinsip untuk dipegang oleh rakyat. Jika kepimpinan parti-parti kerajaan memperlihatkan sikap tolak ansur dalam masalah moral tidaklah mengejutkan kerana sikap keterbukaan dan toleransi terhadapnya telah pun ditunjukkan sejak zaman Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman.

Sekalipun Islam sebagai agama rasmi tetapi untuk penguasaan politik dalam masyarakat berbilang agama dan kaum, Tunku menerima hakikat perlu adanya toleransi terhadap perbezaan nilai dan kelakuan manusia.

Sikap kompromi dan keterbukaannya yang tidak disenangi oleh puak pelampau telah membina imej Malaysia sebagai negara yang sederhana, pragmatik dan dihormati sebagai contoh kepada dunia Islam dan penerimaan oleh dunia Barat.

Semua kejayaan ini memberikan kredibiliti yang tinggi untuk Malaysia ke hadapan dalam melancarkan GMM dalam keadaan yang lebih mencabar kerana sekarang ekstremisme tidak hanya datang dari nasionalisme, sosialisme, komunisme dan Islamisme tetapi juga dari liberalisme yang berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia.

Tambah membimbangkan di Malaysia pelampau pelampau “murtad” sekarang berada di barisan depan dalam perjuangan ini.

Liberalisme tidak pernah dilabelkan sebagai ekstremisme sekalipun kelampauannya lebih berbahaya kepada peradaban dan tamadun manusia, institusi kekeluargaan, norma susila masyarakat dan sistem pemerintahan sesebuah negara.

Atas nama liberalisme dan hak asasi kerajaan yang sah diruntuhkan, campur tangan dan pencerobohan asing ke atas sesebuah negara merdeka diberikan gambaran sebagai misi untuk pembebasan manusia. Semakin liberal seseorang, sesebuah masyarakat atau negara semakin demokratik gambarannya

Kegagalan untuk melihat ultra liberal dan menerimanya sebagai proses demokrasi, kebebasan, pemodenan dan ketamadunan manusia adalah kelemahan untuk melihat skop kesederhanaan itu secara lebih luas dan adil yang akan membawa kepada penyerahan diri secara total kepada imperialisme baru yang bertopengkan globalisasi.

Di Malaysia bahaya ini lebih membimbangkan dan lebih mencabar kerana kepimpinan agama yang menjadi dominan menerusi dogmatisme dan fanatisme Islam telah berada di barisan depan yang dengan mudah mempengaruhi rakyat di akar umbi.

Di samping itu, terdapat tenaga intelektual elit Islam menerusi tulisan-tulisan mereka dalam bahasa Inggeris memperjuangkan supaya Melayu Islam tidak lagi berpegang kepada pandangan satu dimensi mengenai bangsa, agama dan seksualiti.

Mereka ini mahu menjadi bintang promoter globalisasi sehingga sanggup bersongkok untuk membuktikan diri mereka masih Melayu walaupun sebenarnya menjadi tentera upahan asing menerusi kegiatan yang berselindung di sebalik institusi kewartawanan, kemanusiaan, ekonomi dan demokrasi.

Saya percaya Najib mempunyai keupayaan untuk mengatur strategi GMM yang tidak hanya melihat bahaya ekstremisme dari agama dan nasionalisme tetapi juga yang datang menerusi agama baru berukunkan ultra liberal yang boleh menghancurkan nilai-nilai semua agama, budaya dan tatasusila hidup manusia.

Malaysia berada di ambang keruntuhan ini. Pada peringkat ini homoseksual telah pun diterima oleh sebahagian masyarakat Islam Malaysia untuk menggantikan kepimpinan negara. Semuanya adalah angkara dari pelampau Islam telah bertukar menjadi ultra liberal.

PENULIS ialah Karyawan Tamu Institut

Pemikiran Tun Mahathir UUM.

0 comments:

share2