Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 17, 2011

Jeti Kampung Bangau Parit Di Dalam Perhatian Ahli Parlimen Temerloh


Kecanggihan teknologi masa kini banyak mengubah bentuk pengangkutan masyarakat yang sebelum ini turut bergantung kepada pengangkutan air.

Namun begitu, bagi lebih 300 penduduk di 25 perkampungan tradisional dekat sini, pengangkutan air masih digunakan secara meluas dalam urusan seharian mereka.

Oleh itu, jeti yang semakin dilupakan oleh masyarakat negara ini masih menjadi infrastruktur utama bagi penduduk di kampung-kampung di sekitar Sungai Pahang.

Justeru, mereka berharap kerajaan dapat membaik pulih jeti Kampung Bangau Parit di sini yang digunakan sejak berpuluh-puluh tahun dahulu berikutan keadaannya yang semakin uzur dan boleh mengundang nahas.

Jeti yang digunakan oleh penduduk sebagai laluan utama menyeberangi Sungai Pahang dengan bot penambang itu kali terakhir dinaik taraf kira-kira 15 tahun dahulu.

Keadaan jeti yang semakin uzur dan tidak bertangga sangat berbahaya terutama kepada warga emas dan pelajar sekolah yang masih menggunakannya untuk ke seberang sungai.

Jeti terbabit adalah tapak asal yang mana penduduk dari seberang Sungai Pahang menggunakannya hampir seabad lalu ketika belum wujud jambatan menghubungkan dua kawasan berkenaan.

Seorang penduduk, Mohamad Othman berkata, jeti itu masih digunakan kerana pengangkutan air di kawasan itu menyingkatkan masa perjalanan terutama dari Jengka ke Temerloh.

Menurutnya, selain itu, di jeti itulah juga penduduk, peniaga dan mereka yang ada urusan di seberang sungai berkumpul kerana ia laluan utama untuk ke seberang.

"Kini walaupun sudah ada jambatan, namun masih ramai yang menggunakannya, terutama para peniaga kecil di Pekan Sehari yang jaraknya hanya 300 meter dipisahkan oleh sungai ini.

"Kampung ini yang paling hujung dan paling hampir dengan pekan atau bandar Temerloh dari seberang sini. Penduduk dari Gunung Senyum masih menggunakan perkhidmatan bot penambang dan jeti ini.

"Sebab itu kami merayu kerajaan mempertimbangkan permohonan untuk membaik pulih jeti ini, kerana bukan sahaja digunakan oleh orang kampung malah pelancong luar turut menggunakannya," kata Mohamad.

Seorang lagi penduduk, Zakaria Salleh berkata, dia menggunakan jeti itu sejak kecil namun keadaannya yang uzur tetap tidak berubah seperti 15 tahun dahulu.

Menurutnya, keadaan jeti di Kampung Bangau Parit jauh berbeza jika dibandingkan dengan Taman Esplanade di Seberang Sungai yang bernilai jutaan ringgit sedangkan kedua-dua jeti ini mempunyai kaitan iaitu mengambil dan menurunkan penumpang.

"Apa salahnya kalau kerajaan bantu baik pulih jeti yang sangat uzur ini kerana ia masih menjadi nadi perhubungan penduduk kampung tradisional.

"Dahulu saya ada dengar peruntukan baiki jeti diluluskan namun sehingga sekarang belum ada tanda untuk membaikinya.

"Kerajaan memberi peruntukan sehingga beratus ribu ringgit untuk bina jeti peniaga ikan di tempat lain. Jadi apalah salahnya jika sedikit peruntukan itu diberi kepada kampung ini untuk memperbaiki jeti yang juga digunakan oleh orang ramai," katanya.

Sementara itu, pengusaha bot penambang, Mohd. Sofi Alias, 19, berkata, beberapa pelancong yang berkunjung ke sini beberapa bulan lalu juga pernah mengeluarkan kata-kata sinis melihatkan keadaan jeti bot penambang yang sangat uzur tetapi masih digunakan penduduk.

Menurutnya, beberapa pelancong dari Singapura yang pada mulanya ingin singgah di Kampung Bangau Parit membatalkan hasrat mereka kerana bimbangkan keselamatan keluarga.


Menurutnya, ada pelancong luar yang tidak percaya apabila mendapati jeti di Kampung Bangau Parit sangat daif dan sangat berbeza dengan jeti di Taman Espalanade.

"Sudah banyak kali pelancong tempatan dan luar tegur dengan kedaifan jeti Kampung Bangau Parit, ada yang tergelak melihat kegagalan kerajaan membaik pulih jeti ketika mereka sibuk mempromosikan keindahan sungai dan ikan patin.

"Kedudukan jeti Kampung Bangau Parit bukanlah jauh sangat dengan bandar Temerloh, Jadi apa salahnya kerajaan bantu baik pulih jeti ini?

"Saya sendiri pernah lihat dua warga emas tergelincir semasa menaiki tebing yang tidak bertangga, mereka terpaksa meredah lumpur dan selut untuk naik ke tebing," katanya.

Mohd. Sofi berkata, kadang-kadang dia sendiri malu dan tidak tahu untuk memberikan jawapan apabila ditanya oleh pelancong asing.

Masalah jeti Kampung Bangau Parit yang uzur dan memerlukan pembaikan akan dikemukakan segera kepada pengetahuan pihak berkuasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong berkata, pada masa ini difahamkan perkara tersebut sudah berada di dalam pemerhatian Pejabat Ahli Parlimen Temerloh.

"Saya akan sekali lagi majukan perkara ini kepada pihak berkenaan dan mohon disegerakan kerana hasil lawatan saya memang mendapati keadaannya yang sangat daif. Kita akan berusaha membaik pulih jeti ini kerana kita tahu masih ramai penduduk yang menggunakannya,".

Sementara itu, beliau mengakui, turut pernah menerima laporan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bangau Parit berhubung masalah itu.

''Kita faham keperluan penduduk dan saya percaya masalah ini akan diatasi tidak lama lagi berdasarkan keperluan penduduk sekitar yang masih menggunakan pengangkutan air," katanya.

0 comments:

share2