Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 10, 2011

Nasib Golongan Asnaf Terbela


Setiap hari kisah golongan miskin, ibu tunggal, remaja bermasalah dan mualaf sering dipaparkan di media cetak dan elektronik sehingga menarik perhatian masyarakat untuk membantu mereka.

Kadangkala kehidupan golongan itu cukup teruji sehinggakan tiada tempat untuk mengadu bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka.

Cabaran kehidupan yang semakin kompleks membuat mereka sukar menempuhinya sehingga sudah putus asa untuk meneruskan hidup.

Maka satu pusat khusus perlu disediakan supaya golongan terbabit tidak terpinggir dan menjalani kehidupan dengan sempurna.

Menyedari perkara itu, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengambil inisiatif menubuhkan Kompleks Asnaf pertama di negeri ini.

Kompleks yang terletak di tapak tanah wakaf seluas 1.72 hektar di Kampung Pahang, Mukim Penor di sini dibangunkan pada 2008 dan siap sepenuhnya Oktober tahun lalu.

Menelan belanja sebanyak RM3.5 juta, pembinaan kompleks itu bertujuan menempatkan golongan asnaf secara tetap atau sementara khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal, tidak berkemampuan, mualaf serta orang ditimpa bencana.

Pusat yang menyediakan kemudahan lengkap termasuk makan dan minum akan menyediakan bimbingan kerohanian serta melaksanakan ibadah dengan sempurna.

Kemudahan yang disediakan di kompleks tersebut adalah 10 unit rumah berkembar mengandungi 20 bilik dan dua blok teres dengan 10 bilik.

Dilengkapi perabot dan tempat tinggal selesa, golongan terbabit tidak perlu bersusah payah mencari peralatan lain kerana MUIP menyediakan prasarana lengkap di kompleks itu.

Kemudahan surau dan dewan makan juga disediakan selain terdapat sebidang tanah di belakang kompleks tersebut bagi membolehkan golongan itu melakukan aktiviti pertanian secara kecil-kecilan.

Yang Dipertua MUIP, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika mencemar duli melawat kompleks tersebut bulan lalu bertitah, pembinaan kompleks seumpama itu wajar diperluaskan ke daerah lain bagi membolehkan golongan yang memerlukan dibantu dengan lebih berkesan.

Baginda bertitah, kompleks itu bukan sekadar menjadi tempat perlindungan sebaliknya berperanan membentuk penghuninya untuk berdikari.

“Saya tidak mahu kompleks ini sekadar tempat perlindungan untuk warga emas, sebaliknya mendidik remaja dan mualaf untuk lebih mengenal diri masing-masing.

“Pada satu tempoh, mereka akan berdikari dan membina kehidupan sendiri,” titah baginda.

Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, selain menempatkan golongan tersebut, ia juga berfungsi memberi bimbingan al-Quran serta memantapkan akidah Islam dengan amalan cara hidup sebenar.

Katanya, ia juga menyediakan kelas pengajian agama Islam serta rawatan perubatan kepada penghuni yang mengalami masalah kesihatan.

“Secara tidak langsung akan menanam dan memupuk semangat bekerja sebagai satu ibadah selain memberi perlindungan serta penjagaan yang sempurna dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup,” katanya.

0 comments:

share2