Hasrat seorang penduduk miskin, Rosli Shariff, 35, untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila pejabat Ahli Parlimen Cameron Highlands menyumbangkan sebanyak RM3,000 bagi membina sebuah rumah berkenaan di Kampung Melayu Brinchang di sini.
Bantuan membeli peralatan pembinaan rumah itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk S. K. Devamany di Kampung Melayu, Brinchang di sini baru-baru ini.
Devamany bersama ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Melayu Brinchang turut bergotong royong membina kediaman keluarga miskin berkenaan.
Turut serta menyertai gotong-royong tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Yip Kap.
Menurut Devamany, pihaknya terpanggil membantu keluarga berkenaan apabila dimaklumkan oleh JKKK Melayu Brinchang mengenai penderitaan Rosli yang bekerja sebagai buruh di kebun sayur tanpa mempunyai kediaman tetap.
‘‘Bantuan segera dihulurkan bagi membeli peralatan pembinaan dan meminta ahli JKKK di sini bergotong-royong membina kediaman Rosli.
‘‘Ia membuktikan keprihatinan kerajaan negeri berasaskan manifestasi menjaga kebajikan rakyat menerusi agihan bantuan yang sama rata,” katanya kepada pemberita di sini.
Devamany yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pihaknya juga berjaya mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 untuk kebajikan empat orang anak keluarga miskin berkenaan.
Sementara itu, Rosli mengucapkan terima kasih kepada pihak terbabit kerana prihatin dan menyifatkan kehidupannya kembali ceria setelah memperoleh kediaman tetap.
‘‘Selama ini saya menyewa sebuah pondok uzur kerana tidak mampu lagi membayar sewa rumah, upah harian cuma RM25 yang diperoleh hasil bekerja mengangkat kotak sayur-sayuran,” katanya.
0 comments:
Post a Comment