Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 19, 2011

PAS Hanya Keldai Tungangan DAP


INI kias Pas untuk mewajarkan kekalahan di semua lima kerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun 2000 menabur benih, tahun 2006 pucuk bercambah dan tahun 2011 ini pohon itu mekar berbunga.
Pas mengharapkan pohon itu akan berbunga dengan buahnya manis dan berkualiti pada pilihan raya negeri, lima tahun dari sekarang.

Begitu sukar laluan untuk Pas menembusi keyakinan rakyat Sarawak. Parti ini yang memulakan gerakan politiknya melalui ‘dakwah’ pada 2000 memerlukan waktu sekurang-kurangnya 16 tahun untuk mendapatkan suara di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Dari awal, Pas memang begitu mengharapkan untuk menimang kelahiran sulung pada pilihan raya kali ini dengan ideal sekurang-kurangnya satu kerusi. Sasaran itu ternyata meleset dan kelahiran terpaksa ditunda pada pilihan raya akan datang.

Malah dua hari sebelum hari pengundian, Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri menaruh keyakinan Pas bakal melahirkan anak sulung kembar. Sasaran utama kemenangan ialah di DUN Beting Maro dan Sebuyau.

Beliau melihat tanda-tanda positif sokongan pengundi kepada Pas yang menunjukkan peningkatan cukup ketara. Keadaan itu berbeza pada 2006 apabila jentera Pas terpaksa berhadapan cemuhan dan pelbagai bentuk penolakan daripada penduduk.

Mungkin sebab itu, ada yang percaya apabila pada hari pengundian tersebar khabar angin bahawa Barisan Nasional (BN) telah tumbang walaupun peti undi belum ditutup. Memang pada hari-hari terakhir kempen, jentera pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mungkin terpedaya dengan aura Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu yakin dapat menenggelamkan penguasaan BN.

Anwar pun menamakan Baru Bian, calon PKR di Ba‘kelalan sebagai bakal Ketua Menteri. Parti yang dianggap telah renyuk itu telah kehilangan hampir semua pemimpin asalnya, meletakkan 49 calon.
PKR terlihat begitu bernafsu yang menggambarkan ‘kalau tidak sekarang, pilihan raya akan datang tak mungkin ada peluang’. Hasilnya, PKR yang mengkhianati (dikhianati) oleh Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) hanya menang tiga kerusi. Sedangkan DAP terlihat sentiasa lebih lihai berpolitik apabila menang 12 daripada 15 kerusi ditandingi.

Anehnya, DAP sentiasa konsisten dengan sasaran mengurangkan majoriti dua pertiga. Mungkin mereka pun tidak tergamak untuk menamakan Ketua Menteri daripada parti itu kerana tahu mengukur di baju sendiri. Dan terbukti, DAP berjaya menggandakan penguasaannya. Sebab itu, bolehkah PKR yang mendapat tiga kerusi mahupun Pas yang menggigit jari, berbangga?

Yang mungkin boleh memberi harapan kepada Pas ialah calon di DUN Beting Maro, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus. Trend undi yang diperolehnya dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya memberinya harapan.

Abang Ahmad hanya kalah dengan majoriti 391 undi kepada BN. Pada pilihan raya 2006, Pas kalah dengan majoriti 895 undi. Jadi dari segi matematiknya, Pas mampu menang di kawasan ini tetapi harus menunggu lima tahun lagi.

Calon Pas lain, Abang Addy Alyani di Sadong Jaya hanya mendapat 1,074 undi, kalah dengan majoriti 2,934 undi. Begitu juga Adam Ahid (Sebuyau) yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri memperoleh 1,769 undi, kalah dengan majoriti 2,276 undi.

Calon wanita mereka, Noraini Hamzah (Muara Tuang) mendapat 3,196 undi, kalah dengan majoriti yang besar 7,843 undi. Nani Sahari (Tanjung Datu) juga senasib apabila hanya mampu meraih 1,002 undi, kalah dengan majoriti 3,216 undi.

Di Sarawak ini, jentera Pas mahupun PKR terpaksa banyak bergantung kepada semangat juang tinggi ahli DAP dengan kempen yang diwarnai dengan kepentingan perkauman. Walaupun berasal dari Semenanjung, jentera DAP dapat menembusi pemikiran rakyat Sarawak terutamanya pengundi Cina. Berbeza di Semenanjung, jentera Pas lebih menonjol sehingga menjadi tempat menumpang DAP dan PKR khususnya.
Mungkin pada pilihan raya negeri akan datang, selain hanya mengharapkan ‘kejantanan sendiri’ untuk melahirkan anak sulung, DAP boleh memberikan kawasannya kepada Pas. Kalau tidak pada pilihan raya negeri akan datang, mungkin pada pilihan raya umum di kawasan Parlimen.

Jika tidak, Pas berkemungkinan besar akan terus berharap dan kehadirannya hanya untuk meraikan kejayaan sekutunya. Kalau mahu Pas berlari sama di Sarawak, DAP perlu berkorban. Lagipun Pas telah banyak berkorban dengan terpaksa menyongsang perjuangan apabila memilih bersekutu dengan parti cauvinis itu.
Jika Pas boleh menjaga kepentingan DAP di Semenanjung sehingga imej pun rosak, mengapa tidak DAP membalasnya di Sarawak demi politik kepentingan pembangkang itu?

Bersediakah DAP? Jika benar hubungan DAP dan Pas berdasarkan setiakawan dan kepentingan, mereka boleh buktikan di Sarawak. DAP pun selalu mahu membuktikan bahawa parti itu bukan parti perkauman.
Tetapi apa jua strategi politik yang dilakukan oleh PKR mahupun DAP, yang selalu rugi ialah Pas dan perjuangannya.

Sebab itu, Pas perlu memikirkan secara mendalam strategi politik mereka pada masa depan terutama mengenai kehadirannya di Sarawak seperti dinyatakan oleh Ketua Pemudanya, Nasrudin Hassan.
Kias Nasrudin begitu bermakna. Beliau berharap pohon yang sedang mengeluarkan bunga mekar itu tidak rosak dan dimusnahkan oleh anasir-anasir yang tidak mahu melihat buahnya masak ranum di musim depan.

0 comments:

share2