Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 10, 2020

STOK BEKALAN IKAN DAN HASIL LAUT NEGARA MENCUKUPI



KUANTAN, 10 APRIL 2020: Kerajaan memberi jaminan stok bekalan ikan dan hasil laut di negara ini adalah mencukupi dalam pasaran walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambung.


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, YB. Dato’ Haji Che Abdullah Mat Nawi berkata, pada masa kedudukan stok ikan dan hasil laut negara adalah berjumlah 185,000 tan metrik sebulan.


“Berbanding dengan keperluan semasa berjumlah 155,000 tan metrik sebulan. Jadi kita ada lebih 30,000 tan, jadi tiada masalah. Justeru kita memberi jaminan bekalan makanan ikan mencukupi untuk negara.


 Stok bekalan ikan dan hasil laut di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan di Kemunting dilihat masih banyak dan mencukupi.


“Namun memerlukan rantaian pemasaran yang perlu diselesaikan supaya bekalan ini sampai kepada rakyat. Apa yang penting rakyat tidak perlu membuat pembelian panik.


 YB. Dato’ Haji Che Abdullah Mat Nawi (empat kanan) menyampaikan bantuan Covid-19 kepada nelayan yang terjejas selepas mengadakan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan.


“Ini kerana pengeluaran ikan berterusan seperti biasa dan walaupun ada PKP, namun bekalan boleh sampai kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan di Kemunting di sini hari ini.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihak kementerian juga sudah membuka bilik gerakan bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan yang berkaitan pemakanan baik dari segi harga, lambakan dan masalah dalam penghantaran.


“Tetapi setakat ini tidak ada masalah yang besar, kebanyakannya adalah masalah yang kecil sahaja dan kita sudah selesaikan satu persatu. Rakyat tidak perlu bimbang,” katanya.


 Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, YB. Dato’ Haji Che Abdullah Mat Nawi.
Sementara itu, jumlah pendaratan ikan di Kompleks LKIM di seluruh negara sepanjang tempoh PKP bermula 8 Mac hingga 8 april lalu adalah 16,631 tan metrik dengan nilai RM59.02 juta.


“Di LKIM Kuantan pula, jumlah tangkapan ikan dalam tempoh yang sama adalah sebanyak 4,635 tan metrik dengan nilai RM10.36 juta. Purata pendaratan ikan sehari adalah 211 tan metrik,” katanya.


SUMBER: PAHANGMEDIA

0 comments:

share2