Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 10, 2020

COVID-19: PKP DI TUJUH KAWASAN DI KUANTAN DIPERKASA




KUANTAN, 10 APRIL 2020: Pihak berkuasa di daerah ini mempergiatkan penguatkuasaan atau memperkasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tujuh kawasan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata, langkah ini dilaksanakan selepas daerah Kuantan diisytiharkan sebagai zon merah COVID – 19.


“Tujuh kawasan itu adalah, Taman Mahkota Aman, Taman Mahkota Permai, Taman Inderapura, Taman Pandan Perdana, Indera Sempurna, Taman Pandan Perdana, Indera Mahkota dan Felda Bukit Goh,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.


Beliau berkata, setiap tujuh kawasan tersebut akan dipantau sepanjang 24 jam oleh agensi-agensi penguatkuasa termasuk polis, tentera, RELA dan PBT.


“Penduduk-penduduk kawasan itu dinasihatkan supaya mengelak keluar daripada rumah dan pihak penguatkuasa hanya membenarkan individu yang wajib keluar sahaja atas sebab yang sangat perlu.


“Setiap laluan kecil di ketujuh-tujuh kawasan itu ditutup dan hanya laluan utama sahaja dibuka dan dikawal secara ketat,” katanya.


Beliau berkata, sekiranya penghuni kawasan itu memerlukan bantuan atau berdepan situasi kecemasan boleh hubungi di talian 09- 5652090 ke bilik gerakan polis.


“Orang ramai juga tidak perlu panik dan patuhi arahan pihak berkuasa. Pihak polis juga akan menahan penduduk yang keluar rumah dengan alasan tidak kukuh di kawasan berkenaan,” katanya.



Jelasnya lagi, tujuh kawasan itu tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sepertimana ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.


SUMBER  – PAHANGMEDIA

0 comments:

share2