Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 21, 2019

[VIDEO] JANGAN TAFSIR AL-QURAN MENGIKUT AKAL DAN LOGIK SEMATA-MATA DEMI KEPENTINGAN PERIBADI – YANG DI-PERTUAN AGONG




Kuantan - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengingatkan umat Islam supaya tidak memberi tafsiran berkaitan al-Quran mengikut akal dan logik semata-mata demi kepentingan peribadi serta kumpulan tertentu.


Seri Paduka bertitah, sikap berkenaan yang dapat dilihat sejak akhir-akhir ini melibatkan segelintir individu perlu ditangani segera kerana boleh meruntuhkan akidah, institusi keluarga dan menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam jika dibiarkan berlarutan.


"Oleh demikian, kefahaman mendalam terhadap tafsiran yang tepat isi kandungan al-Quran adalah sangat penting.


"Sahsiah atau akhlak yang dibina berpaksikan ajaran al-Quran akan berupaya melahirkan masyarakat yang bertakwa dan bahagia di dunia serta akhirat," titah Seri Paduka ketika menutup Majlis Tilawah al-Quran peringkat negeri kali ke-62 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam ini.


Berkenan berangkat sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.


Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Salehuddin Ishak; Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.


Pada majlis itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang.


Qari dari Raub, Mohamad Syaheed Sabri dan qariah Jerantut, Suhaili Mohd. ma­sing-masing dinobatkan sebagai johan tilawah al-Quran peringkat negeri bertemakan 'Menyantuni Umat Membawa Rahmat' itu yang menutup tirai malam ini.


Sultan Abdullah turut menyeru semua masjid di negeri ini untuk menjadi pemudah cara bagi menyuburkan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam.


"Mudah-mudahan umat Islam akan mencapai kejayaan dalam menjadikan al-Quran sebagai panduan dan pedoman kehidupan," titah Seri Paduka.


Dalam pada itu, Sultan Abdullah mengingatkan umat Islam tentang kewajipan menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama dalam kehidupan.


"al-Quran adalah sumber rujukan yang mampu menjadi petunjuk arah dalam kehidupan seharian.
"Kitab suci ini juga berupaya menangani pelbagai cabaran dan ancaman terhadap akhlak serta moral masyarakat yang berleuasa ketika ini," titah Seri Paduka. -

            

0 comments:

share2