Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 7, 2018

[LIPIS] KEMENTERIAN PENDIDIKAN PERLU AMBIL ALIH


Kementerian Pendidikan perlu ambil alih



Penduduk serta ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Taufikiah Al- Asriah Tanjung Besar, Benta, di sini meminta kerajaan negeri dan Kementerian Pendidikan segera mengambil alih sekolah berkenaan untuk dijadikan sekolah menengah agama kerajaan.

Timbalan Pengerusi Jemaah Pengurus sekolah, Abduk Malik Abas berkata, pengambil alihan pentadbiran sekolah berkenaan dijangka mampu menyelesaikan isu kekurangan infrastruktur dan elaun guru di sekolah terbabit.

Menurutnya, pelbagai usaha serta rayuan dikemukakan penduduk kepada pihak-pihak terlibat, bagaimanapun masih belum berhasil.

"Sejak tahun 1950an lagi penduduk telah berkorban wang ringgit, tenaga dan masa untuk menubuhkan sekolah menengah agama (bahasa penghantar Arab).

"Berkat perpaduan dan kesungguhan pada 1961 dengan bangganya sekolah ini dirasmikan pembukaannya oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein," katanya.







Menurutnya, segala perbelanjaan sekolah termasuk gaji guru ditanggung penjaga pelajar dan masyarakat setempat, di samping dapat sedikit bantuan daripada Jabatan Agama Islam Pahang, Kementerian Pendidikan dan lain-lain.

"Sepatutnya sudah lama kerajaan negeri atau kementerian ambil alih sekolah ini untuk dijadikan sekolah menengah agama kerajaan, namun sehingga kini masih belum jadi kenyataan," katanya di sini, semalam.

Abdul Malik berkata, jika pengambil alihan itu berlaku, ia dapat menyelesaikan semua isu berbangkit seterusnya meningkatkan prestasi sekolah agama berkenaan pada masa hadapan.

Malah, katanya, sekiranya sekolah tersebut didaftarkan di bawah kementerian, guru-guru di sekolah akan menikmati faedah sama seperti diraih kakitangan kerajaan yang lain termasuk pencen.

"Sekolah ini mempunyai 126 pelajar dari Tingkatan 1 hingga 5. Ia bukan sahaja menjadi pilihan anak jati Kampung Tanjung Besar untuk menuntut ilmu agama tetapi juga pelajar dari Lembah Kelang serta luar daerah Lipis.

"Apakah sebab yang tidak mewajarkan sekolah itu diambil alih kerajaan? Masalah tanah telah diatasi. Sudah tentulah amat besar maknanya bagi penduduk jika hasrat tersebut dipenuhi kerajaan," katanya.


0 comments:

share2