Tidak sempat menelan seekor kambing milik seorang penduduk Kampung Leban Chondong, di sini, seekor ular sawa berjaya ditangkap pasukan bomba dengan bantuan penduduk.
Penangkapan ular sawa dengan anggaran berat hampir 100 kilogram manakala panjangnya kira-kira 15 meter itu telah mengejutkan penduduk sekitar.
Pemilik kambing, Shabanaria Abd Razak, 42, berkata, kejadian itu disedarinya sekitar jam 9.30 malam tadi selepas mendengar bunyi kambing 'menjerit' seolah-olah dalam ketakutan.
Menurutnya, pada mulanya dia merasakan 11 ekor kambing peliharaannya itu hanya diganggu oleh anjing namun terkejut apabila melihat haiwan berbatik itu sedang membelit seekor kambingnya ketika pergi menyuluh di kandang.
"Saya balik semula dan panggil adik, kami pergi semula ke kandang bersama beberapa jiran lain namun ular itu melepaskan kambing yang dibelit selepas disuluh.
"Ia seperti nak menyusur ke sungai di belakang kandang namun masuk ke dalam reban kambing selepas dikepung dan terkurung di dalamnya, ketika itu saya telefon bomba dan tak bagi jiran-jiran ambil tindakan sendiri," katanya kepada Sinar Harian.
Mengakui pernah hilang beberapa ekor kambing sebelum ini, Shabanaria menganggap penangkapan ular sawa itu merupakan jawapan kepads nasib semua kambing yang hilang itu.
Sementara itu, Ketua operasi, Pegawai Bomba Nordin Mamat, yang ditemui berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin menerima panggilan aduan pada jam 9.51 malam.
Menurut, empat anggota menaiki sebuah jentera segera ke lokasi dan sampai di sana pada jam 10.08 sebelum bersama penduduk berusaha menangkap ular sawa itu.
"Disebabkan saiznya yang besar dan berada dalam reban, operasi menangkap menggunakan penjerut serta tali agak sukar.
"Bagaimanapun, ia berjaya ditangkap dan operasi tamat sekitar jam 10.59 malam manakala ular sawa itu diserah kepada Jabatan Perhilitan Rompin untuk tindakan lanjut," katanya.
0 comments:
Post a Comment