Walaupun terpaksa menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di katil hospital namun itu tidak mematahkan semangat seorang calon dari Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Addiniah, Padang Tengku di sini untuk melakukannya bersungguh-sungguh.
Ahmad Zul Muaz Ahmad Sohairi, 17, terpaksa menjawab peperiksaan SPM di Hospital Kuala Lipis setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 19 September lalu.
Ahmad Zul Muaz berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari dekat Tempoyang itu menyebabkan dia kehilangan kaki kanan, patah kaki kiri dan putus jari kelingking kanan.
Menurutnya, biarpun terlantar di katil hospital sejak dua bulan lalu namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk mengulang kaji pelajaran dan menjawab peperiksaan sebaik mungkin.
"Kalau ikutkan saya telah dibenarkan pulang seminggu lalu setelah menjalani pembedahan kali ke lima bagi memasukkan besi di bahagian paha yang patah. Tapi saya minta untuk mengambil peperiksaan di hospital kerana sukar bergerak selain kedudukan rumah di Kampung Relong agak jauh dari sekolah dan menyulitkan saya untuk berulang alik dengan keadaan sekarang.
"Kadang-kadang masa ulang kaji pelajaran ada juga rasa sakit di bahagian luka kaki yang dipotong dan saya akan ambil masa untuk berehat sebentar. Saya berharap agar memperoleh yang baik dalam SPM sekali gus memastikan impian untuk menjejakkan kaki ke menara gading tercapai,"katanya di sini, semalam.
Pelajar aliran Sastera itu mula menduduki peperiksaan SPM di hospital berkenaan yang bermula hari ini sehingga 23 November nanti.
Mengimbas kembali kejadian kemalangan itu, Ahmad Zul Muaz berkata, dia bersama empat rakan yang lain baharu selesai makan di Bandar Lipis dan dalam perjalanan ke sekolah dengan menaiki motosikal untuk menghadiri kelas tambahan.
Tambahnya, ketika sampai di tempat kejadian sebuah lori satu tan datang dari arah Padang Tengku menghala ke Lipis telah memasuki bertentangan sebelum melanggar motosikal yang ditungganginya.
"Saya tak sempat nak elak sebab lori tu masuk ke laluan motosikal secara mengejut. Lori tu melanggar bahagian kaki kanan saya sebelum mengheret sejauh kira-kira 10 meter.
"Masa tu saya tengok kaki kanan berlipat atas dada tapi tak rasa sakit. Bila masuk je dalam ambulans saya dah tak sedarkan diri. Dua hari saya koma dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lipis dan bila sedar baru saya tahu kaki kanan kena potong sebab salur darah utama putus," katanya.
Anak kedua dari enam beradik itu berkata, akibat kehilangan kaki kanan itu juga menyebabkan dia terpaksa melupakan cita-citanya menjadi pemain bola sepak profesional satu hari nanti.
"Saya memang minat bermain bola sejak kecil lagi malah turut menjadi wakil daerah dalam Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2017/2018, tapi lepas kemalangan ni saya terpaksa melupakan hasrat untuk aktif dalam sukan berkenaan.
"Selain itu saya juga merancang untuk menempah kaki palsu untuk memudahkan pergerakan selepas keluar dari hospital nanti," katanya.
0 comments:
Post a Comment