Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 2, 2017

NELAYAN, PESAWAH TERUJA DIKUNJUNGI PM




Alor Setar: Kehadiran Datuk Seri Najib Razak ke Kampung Seberang Kota di Kuala Kedah, disambut warga nelayan dan petani, iaitu antara kelompok yang menerima peruntukan terbesar dalam Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Jumaat lalu.

Difahamkan, mereka menunggu seawal jam 8 pagi lagi untuk bertemu mata dengan Perdana Menteri yang ceria ketika tiba di kampung berkenaan kira-kira jam 9.20 pagi.

Pastinya gulai ikan temenung yang dianggap sebagai menu 'wajib cuba', menjadi hidangan istimewa sarapan buat pemimpin nombor satu negara itu.

Selain gulai ikan temenung, turut disediakan di Warong Temenung Meletop itu beberapa menu lain berasaskan hasil laut penduduk setempat seperti ikan temenung dan bawal goreng, pulut manis serta ulam.

Terdahulu, Perdana Menteri yang ditemani Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, melihat penyediaan apom lenggang ketika singgah bersarapan bersama penduduk setempat di gerai Apom Lenggang Sempoi milik anak tempatan, Rusdi Che Alias, 43.

Malah Perdana Menteri sempat berkongsi lawatan beliau ke Kuala Kedah di laman Facebook Najib Razak.

"Sarapan bersama penduduk Kedah di Warong Temenung Meletop Kg Seberang Kota. Memang terbaik gulai temenung sini, pakat mai cuba nanti," katanya.

Rusdi, ketika ditemui, mengakui tidak menyangka pemimpin nombor satu negara boleh singgah di gerainya, malah bertegur sapa sambil bertanyakan mengenai menu makanan yang dijualnya.

"Perdana Menteri nampak teruja dan gembira melihat makanan yang kami sediakan, malah mahu merasainya sendiri. Ini satu pengalaman berharga untuk saya yang berniaga secara kecil-kecilan," katanya yang sudah berniaga apom sejak enam tahun lalu.

Selesai bersarapan, Perdana Menteri meluangkan masa berjalan kaki di sekitar kampung terbabit menuju Jeti Nelayan Seberang Kota untuk melihat aktiviti nelayan yang sedang membetulkan pukat di atas bot.

Najib kemudian ke Warung Pak Long yang terletak di tepi jeti berkenaan untuk bersarapan ringkas dan meluangkan masa kira-kira 30 bersama tiga kelompok tani iaitu nelayan, petani dan pekebun kecil sambil bertukar pendapat mengenai Bajet 2018.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Ahmad Rudin Hussain, yang mewakili nelayan, selain Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pesawah Padi, Musa Kamis, mewakili petani dan Pengerusi Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPK) Cawangan Sik, Mohamad Fuzi Dolah, mewakili pekebun kecil getah.

Bagi peniaga Pasar Nelayan Kuala Kedah, Fazirun Fazilah, 36, dia mengakui pengalaman bertemu mata dengan Perdana Menteri cukup bermakna walaupun pemimpin negara itu hanya singgah lima minit sahaja di gerainya.

Berkongsi perasaan sama, penjual ketam, Junaidah Zainol, 34, berkata dia tidak menyangka berpeluang berjumpa Perdana Menteri kerana lokasi pasar ini jauh ke dalam, apatah lagi Perdana Menteri turut bertanyakan sendiri mengenai keadaan perniagaannya di situ.

Golongan pesawah, petani, peladang, pekebun kecil dan nelayan adalah kelompok yang menerima peruntukan paling besar melalui Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri iaitu mencecah RM6.5 bilion.


0 comments:

share2