Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 2, 2017

[TIOMAN] LAPANGAN TERBANG BAHARU RANCAK SEKTOR PELANCONGAN


Ishak Mokhtar


Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2018 Jumaat lalu, berhubung kajian pembinaan lapangan terbang baharu di Pulau Tioman amat penting bagi merancakkan lagi sektor ekonomi dan pelancongan di kawasan berkenaan.

Pengarah Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar berkata, jika pembinaannya direalisasikan, jumlah kehadiran pelancong ke pulau yang diiktiraf antara tercantik di dunia itu, dijangka mampu terus meningkat terutama pada musim tengkujuh.

"Pulau Tioman sentiasa menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa namun masih ada kelemahan dari segi pengangkutan. Mereka hanya boleh menggunakan feri dan apabila tiba musim tengkujuh, laut bergelora menyebabkan perkhidmatannya terpaksa dihentikan.

"Jadi, kita menyambut baik cadangan kerajaan untuk mengkaji pembinaan lapangan terbang baharu ini yang dilihat mampu memberi impak positif bukan sahaja kepada ekonomi penduduk setempat, malah kepada Pahang amnya,” kata beliau ketika ditemui Bernama di sini semalam.

Beliau berkata, mengikut statistik jumlah kehadiran pelancong ke pulau itu meningkat setiap tahun dan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, 155,939 pelancong direkodkan telah mengunjungi pulau tersebut.

Ishak berkata, pada masa ini, lapangan terbang di Pulau Tioman yang beroperasi di Kampung Tekek mengendalikan penerbangan sewa khas dan hanya boleh membawa kira-kira 12 penumpang dalam satu masa.

"Pulau ini sememangnya memerlukan lapangan terbang baharu yang lebih besar bagi membolehkan kapal terbang bersaiz lebih besar mendarat.

"Jadi cadangan untuk mengkaji semula keperluannya selepas cadangan asal pada 2009 ditolak, sangat dialu-alukan dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang lebih baik ke pulau ini," katanya.

Sebelum ini, lapangan terbang baharu itu dicadangkan dibina di Kampung Genting dengan separuh landasan di air, manakala sebahagiannya di darat untuk kapal terbang bersaiz besar seperti Boeing 737 mendarat.-


0 comments:

share2