Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 3, 2017

[KUANTAN] MCKIP TIDAK AKAN JADI 'KOTA TERTUTUP'


MCKIP


Tuduhan pembangkang terhadap projek Taman Perindustrian Malaysia Kuantan China (MCKIP), di sini kononnya menjadi 'kota tertutup' apabila dikelilingi binaan tembok konkrit dan meminggirkan penduduk setempat dalam tawaran peluang pekerjaan tidak benar.

Pembinaan tembok konkrit itu sebenarnya tidak melibatkan keseluruhan kawasan taman perindustrian tersebut sebaliknya hanya meliputi kawasan persendirian milik Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. (Alliance Steel) bagi mengelakkan pihak yang tidak berkaitan memasuki tapak berkenaan.

Sekretariat Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri berkata, pembinaannya juga mematuhi polisi syarikat terhadap Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) bagi memastikan tahap keselamatan tapak projek.

"Kawasan lain di MCKIP adalah terbuka," kata sekretariat itu menerusi maklumat berhubung MCKIP yang diedarkan kepada media pada mesyuarat exco kerajaan negeri dipengerusikan Menteri Besar, Dato' Sri Diraja Adnan Yaakob di sini,semalam.

Maklumat diedarkan itu bagi memberi penjelasan berhubung pelbagai dakwaan dan tohmahan pembangkang terhadap pelaksanaan projek MCKIP kebelakangan ini.

Sementara itu, isu penduduk tempatan tidak mendapat manfaat dalam tawaran peluang pekerjaan dengan kehadiran kira-kira 3,000 pekerja asing di MCKIP (di tapak kilang Alliance Steel) ketika ini, sekretariat menegaskan ianya tidak tepat.

Sebaliknya, terdapat pekerja tempatan dan pekerja asing yang mempunyai permit bekerja di taman perindutrian itu bagaimanapun mereka (pekerja asing) hanya dibenarkan berada di tapak projek tersebut sehingga pembinaan siap pada akhir tahun depan..

Berdasarkan maklumat diberikan, pihak sekretariat memaklumkan, apabila beroperasi kelak, dianggarkan kilang berkenaan mempunyai bilangan pekerja berdasarkan nisbah 70 peratus rakyat tempatan manakala 30 peratus sahaja warga asing.

Pekerja asing terlibat hanya diberikan kontrak sementara untuk tempoh antara tiga dan lima tahun sebelum tempat mereka akan diisi kembali oleh pekerja tempatan.

"Dijangkakan lebih 4,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan kepada penduduk tempatan semasa operasi kelak malah pengurusan kilang juga giat menganjurkan beberapa karnival pekerjaan di negeri ini, Terengganu dan Kelantan sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Menurut Sekretariat Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri juga, isu kononnya kesemua bahan-bahan pembinaan diimport dan kontraktor-kontraktor tempatan tidak dilibatkan dalam tempoh pembinaan kilang tersebut juga tidak benar.

Sebaliknya, Alliance Steel sebenarnya membeli dan menyewa bahan-bahan pembinaan bernilai kira-kira RM200 juta daripada syarikat-syarikat tempatan selain menawarkan kontrak bernilai kira-kira RM530 juta kepada mereka khususnya kontraktor-kontraktor pembinaan.

Memandangkan MCKIP terletak agak jauh dari bandar Kuantan (30 kilometer) kedai dan restoran terpaksa dibuka di dalam tapak Alliance Steel bagi memudahkan ribuan pekerja situ mendapatkan barangan keperluan atau makanan.

Malah terdapat pasar raya milik syarikat tempatan, Tunas Manja Group (TMG) di dalam MCKIP sekali gus menangkis dakwaan kewujudan kedai dan restoran dalam kawasan tapak kilang tidak memberi peluang perniagaan kepada rakyat tempatan.

Sementara itu, urusniaga di dalam MCKIP menggunakan ringgit (RM) dan mereka juga tertakluk kepada cukai pendapatan korporat dan peribadi sedia ada.


0 comments:

share2