Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 3, 2017

[KUANTAN] BABY MENDERITA PARU-PARU KRONIK


Baby menderita paru-paru kronik


Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Si kecil ini baru berusia 10 bulan namun kebanyakan masanya dihabiskan di dalam wad kerana ada ketikanya dia memerlukan alat bantuan kecemasan secara tiba-tiba.

Baby Nurhalisa Alieya Natashah Mohd Yusof, yang merupakan anak kepada pasangan Mohd Yusof Ali, 37, dan Norhalimahtom Sabahudin, 27, perlu menggunakan alat sedut asma dua kali sehari bagi melegakan saluran pernafasannya yang sempit.

Menurut Mohd Yusof, secara fizikal Baby nampak sihat namun hakikatnya dia mengalami masalah paru-paru kronik sehingga menyebabkan saluran pernafasan menjadi semakin sempit dan sukar untuknya bernafas secara normal.

“Saya memang tak sangka Baby akan jadi macam ni sebab dia dilahirkan normal. Lepas beberapa hari dilahirkan dia sesak nafas.

“Lama juga dia ditahan di wad sebelum dibenarkan keluar dan dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini penyakit Baby serang balik dan makin teruk.

“Bulan lepas Baby kena dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas sesak nafas teruk. Dia masuk wad Unit Jagaan Rapi Kanak-kanak (PICU) lebih seminggu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam pada itu, katanya, anaknya terlalu sensitif dan akan berhadapan keadaan sedemikian setiap kali mengalami demam.

“Baby amat sensitif dan tak boleh terlalu terdedah di luar rumah, kalau tak dia mudah sesak nafas. Jadi aktiviti luar kena kurangkan sebab penyakitnya boleh menyerang bila-bila masa," katanya.

Sementara itu, dia yang bekerja sebagai pemandu lori berharap orang ramai dapat mendoakan supaya kesihatan anaknya bertambah baik.

“Saya berdoa dan berharap Baby sihat dan membesar dengan normal.

“Bila tengok wajah dia saya memang sedih. Harap sangat dia dapat main dengan kawan-kawan yang lain," katanya.

Justeru, orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga dan membantu Baby boleh menghubungi bapanya, Mohd Yusof di talian 016-2591300.


0 comments:

share2