Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 26, 2017

[JERANTUT] MENARA PANDANG BAKAL DIBINA


Menara pandang bakal dibina


Persatuan Pencinta Burung Taman Negara (BGTN) merangka untuk membina sebuah menara pandang di Hutan Simpan Kekal Tembeling Tekal di sini sebagai usaha memperkenalkan Tembeling Hornbill Valley kepada pelancong seluruh dunia.

Setiausaha BGTN, Sabri Abdullah berkata, selain memperkenalkan lembah burung enggang yang terdapat di Taman Negara Kuala Tahan itu, menara berkenaan juga akan dijadikan penyelidikan dan pengumpulan data avian di kawasan Alur Tembeling.

“Menara pandang itu juga berfungsi sebagai pusat operasi pemuliharaan habitat avian sekali gus sebagai penggerak ekonomi kepada ekopelancongan berasaskan komuniti bagi penduduk kampung berhampiran dengan menjadikan avitourism sebagai aktiviti pelancongan utama. 

“Pembinaan menara pandang itu juga secara tidak langsung menggalakkan kempen kesedaran alam sekitar melalui konservasi yang dijalankan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas tinjauan dilakukan Ahli Parlimen, Dato' Ahmad Nazlan Idris ke tapak pembinaan menara pandang terbabit yang juga rizab jalan (ROW) di Banjaran Bukit Dedari, kelmarin.

Menurutnya, pembinaan menara pandang yang menelan kos kira-kira RM216,000 itu akan akan dilengkapi dengan lantai menara dan kemudahan kerusi dan meja kayu. 

“Tingkat satu menara disediakan tandas, bilik mandi, pejabat operasi dan ruang mesyuarat manakala tingkat dua akan dilengkapi dengan menara tinjau dan kemudahan katil bertingkat,” katanya. 

Dalam pada itu, Sabri berkata, Tembeling Hornbill Valley sepanjang 22 kilometer adalah kawasan Hutan Simpan Tembeling Tekal yang berada di antara Kampung Tuit dan Kampung Pagi.

“Kawasan ini bersempadan dengan Hutan Taman Negara dan habitat semula jadi avian masih terpelihara.

“Disebabkan laluan jalan ini melalui lereng-lereng bukit, ia menjadi faktor kepada mudahnya untuk melihat burung-burung enggang yang berada di atas pokok-pokok tinggi,” katanya. 

Sabri berkata, Tembeling Hornbill Valley mula diperkenalkan sebagai lokasi memerhati burung bermula awal tahun 2014 apabila BGTN menjadikannya sebagai salah satu lokasi mengira burung dalam acara Taman Negara Bird Count 2014.

“Semenjak itu, peminat-peminat burung mengambil peluang dengan mendatangi Tembeling Hornbill Valley ini bagi melihat spesis-spesis burung enggang yang sukar ditemui di tempat lain akibat ancaman manusia.

“Pada 16 hingga 23 Ogos tahun lalu, BGTN mempromosi Tembeling Hornbill Valley di British Birdwatching Fair di Rutland United Kingdom dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan," katanya.

Menurutnya, sehingga ke hari ini statistik pengunjung dilihat semakin bertambah walaupun tanpa ada sebarang kemudahan disediakan. 

“Malah sebanyak 145 spesies burung direkodkan sehingga pertengahan bulan ini termasuk sembilan dari 10 spesies enggang yang terdapat di Malaysia. 

“Antara kelebihan utama Tembeling Hornbill Valley ialah masih terdapat spesies Enggang Tebang Mertua (Helmeted Hornbill) yang disenaraikan sebagai spesies sangat terancam oleh International Union of Conservation for Nature (IUCN),” katanya. 

Sabri berkata, melihat kepada perkembangan terkini dalam avitourism, pembinaan sebuah menara tinjau pastinya dapat merancakkan lagi kemajuan ekotourism setempat.


0 comments:

share2