Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Mempaga sanggup menyediakan paparan visual (slide show) bagi menyambut ketibaan rombongan MBFM dan Adun Kemayan, Datuk Mohd Fadil di rumahnya, semalam.
Shaari Mohamad, 53, berkata, dia dimaklumkan wakil MBFM Felda Triang 1 bahawa rombongan yang diketuai Pengerusi MBFM Wilayah Mempaga, Azril Ramli akan mengunjungi rumahnya.
Dia yang lebih dikenali dengan gelaran Pak Tam terharu dengan keprihatinan MBFM, dan tidak kisah berbuat demikian sebagai tanda penghargaannya kepada mereka yang sudi menziarahnya.
“Pak Tam memang selalu buat macam ni. Saja suka-suka, sekurang-kurangnya itu cara saya mengalu-alukan serta hargai kedatangan mereka
“Saya terharu mereka sudi datang,” katanya.
Shaari merupakan salah seorang yang disenaraikan dikunjungi MBFM menerusi Program Ziarah Ukhuwah berikutan kesihatannya yang kurang sihat.
Difahamkan, pergelangan kaki kanan Shaari retak kerana terjatuh, menyebabkan bahagian itu perlu disimen.
“Dah tiga bulan kaki ni retak sebab jatuh dalam longkang. Masa tu, nak balik dari kedai...waktu malam, Pak Tam tak nampak. Tiba-tiba kaki yang terperosok dalam longkang.
“Mula-mula ingat bengkak biasa saja, jadi Pak Tam berubat cara tradisional. Pak Tam balut bengkak ni guna daun tembaga suasa. Tapi tak surut-surut juga. Tu yang anak nasihat ke hospital,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, doktor turut mencadangkan pembedahan untuk memasukkan skru untuk mempercepatkan proses pemulihan, tetapi Shaari tidak bersetuju dan mahu ia sembuh secara semula jadi walaupun terpaksa mengambil masa lama.
Menurutnya, pergelangan kakinya dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh enam bulan, dan sepanjang tempoh itu juga dia langsung tidak boleh memberi tekanan kepada kakinya kerana dibimbangi keretakan bertambah.
“Kalau retak melintang, boleh lagi nak jejak bumi. Tapi ni retak menegak. Lagi kita beri tekanan pada kaki ni, lagi lambat sembuh. Nak tak nak, kena duduk atas kerusi rodalah.
“Alhamdulillah, kerusi roda ni saya dapat bantuan daripada Exco Kesihatan (Datuk Norol Azali Sulaiman), dan hari ni, saya terima pula kunjungan YB Fadil dan MBFM,” kata beliau.
Sementara itu, Azril berkata, kunjungan MBFM sebagai tanda ingatan kepada warga Felda dengan menyampaikan sedikit sumbangan terutamanya yang sedang sakit .
Beliau dalam pada itu juga tidak menyangka pihaknya pula menerima kejutan daripada Shaari.
0 comments:
Post a Comment