Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 26, 2017

[KUANTAN] PENDEKATAN PERJUANG ISU RAKYAT


Pendekatan perjuang isu rakyat


Jentera Umno bersama parti komponen mengambil pendekatan berinteraksi dengan masyarakat di samping memperjuangkan isu-isu rakyat untuk mendekati mereka.

Timbalan Ketua Umno Kuantan, Dato' Sri Abd Hamid Nazahar berkata, ia antara beberapa pendekatan yang diambil oleh bahagian tersebut.

Menurutnya, jentera parti termasuk pemimpin setempat yang berada di peringkat akar umbi perlu mendekati masyarakat bagi mendengar keluhan dan meneliti keperluan mereka.

“Kena turun padang dan berjumpa mata bukan sekadar mendengar dan bercakap di laman sosial semata-mata. Berdepan dan turun padang dapat menarik sokongan serta kepercayaan rakyat kepada parti.

“Budaya mengharapkan orang suka kepada parti tanpa bekerja sudah tiada, kita mesti dilihat dan dirasakan bersama rakyat. Sebab itu hendak cari calon pilihan raya mesti yang boleh menang dan disukai pengundi,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas menyertai program pengagihan Jalur Gemilang oleh Wanita BN Bahagian Kuantan di tapak pasar pagi Kampung Jawa di sini, semalam.

Turut serta Pengerusi Wanita BN Bahagian Kuantan, Dato' Zaiton Mat yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kuantan; Ketua Wanita MCA Bahagian Kuantan, Tee Choon Ser dan Ketua Wanita MyPPP Kuantan, N. Mahespari bersama 50 ahli komponen BN.

Dalam program tersebut, sebanyak 300 Jalur Gemilang diagihkan kepada para peniaga dan pengunjung pasar pagi tersebut bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Sementara itu, Abd Hamid menegaskan, BN tidak pernah jemu memperjuangkan nasib, kebajikan dan mengemukakan keperluan penduduk kepada kepemimpinan kerajaan walaupun parlimen Kuantan dikuasai pembangkang sejak dua penggal lalu.

Beliau memberikan contoh kehadiran ahli majlis daripada BN Kuantan dalam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang sentiasa turun padang seterusnya membolehkan banyak masalah rakyat diselesaikan dengan kaedah yang baik.

Dalam pada itu ditanya persiapan jentera bahagian itu, beliau memberitahu, jentera parti itu bekerja sepanjang masa serta tiada istilah berpuas hati dalam gerak kerja mereka dengan berusaha memastikan hari ini sentiasa lebih baik berbanding semalam.

“Jika kita sentiasa puas hati, tidak ada penambahbaikan. Kadangkala orang kata Kuantan kawasan yang BN kalah tapi kalau kita boleh tukar cabaran itu jadi peluang, insya-Allah membuahkan hasil,” katanya.


0 comments:

share2